
Ahli Parlimen Ketereh mendakwa Lim “buta undang-undang” mengenai pelucuthakan sivil apabila pemimpin DAP itu mendakwa Annuar mengakui Umno menerima dana 1MDB.
“Kali ini beliau cuba memutar belit kenyataan saya di Terengganu berkaitan akaun Umno dan ‘civil forfeiture’ yang mahu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Untuk Lim menyatakan Umno mengakui menerima wang 1MDB adalah ‘typical’ perangai LKS yang sepanjang hayat politiknya melempar pelbagai tuduhan kepada pelbagai pihak sesuka hatinya,” tulisnya di Facebook hari ini.
Pada 21 Jun lalu, SPRM mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta dana 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun Najib Razak.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dilaporkan berkata, penerima terbesar wang itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.
Susulan itu, Umno dan beberapa pihak diperintah memfailkan afidavit mereka untuk menjawab saman itu di mahkamah.
Annuar berkata, Lim “tenggelam dalam 1MDB fobia” yang beliau cipta sendiri dengan menjatuhkan hukuman ke atas Umno sedangkan perbicaraan tuntutan pelucuthakan itu belum bermula.
“Apakah ‘civil forfeiture proceeding’ bersamaan penghakiman mahkamah atau ia hanya satu permulaan permohonan sivil oleh SPRM yang selepas ini wajib melalui satu proses perbicaraan di mahkamah, di mana masing-masing yang punya hak atas aset/akaun yang disita (termasuk pihak ke-3) diberi peluang membuktikan aset yang mahu dirampas bukan hasil daripada aktiviti haram?
“Sekali lagi saya tegaskan wang dalam akaun Umno yang diberi notis oleh SPRM tiada kena-mengena dengan 1MDB dan bukan wang aktiviti haram, malah ia dari sumber yang sah dan ini akan dibuktikan di mahkamah.”
Katannya, SPRM membekukan ratusan akaun pelbagai pihak yang pernah menerima wang daripada Najib dan status akaun bekas perdana menteri itu belum diputuskan mahkamah.
“Umno tidak tahu apa-apa mengenainya kerana ia bukan akaun yang diuruskan Umno. Sepatutnya Lim boleh bersabar menunggu proses undang-undang berjalan dan menghormati kedaulatan undang-undang.