
Annuar mendakwa ini kerana dana yang diterima daripada presiden Umno Najib Razak sebelum ini telah habis digunakan pada 2014.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Tariq Ismail berkata, logik Annuar salah.
“Jadi jika Umno terima dana pada 2011, 2012 dan 2013 daripada 1MDB dan habis menggunakannya pada 2014, bermakna mereka tidak bersalah?
“Mengikut logik itu, jika seorang pencuri mencuri dan menggunakan wang curian itu hingga habis, maka dia tidak bersalah?
“Annuar harus memeriksa dirinya kerana beliau merupakan sebahagian daripada pemimpin Umno yang gembira menerima dana yang didakwa milik 1MDB,” katanya kepada FMT.
Tariq juga mengkritik definisi kleptokrasi Annuar iaitu “akaun peribadi tetapi bukan untuk keuntungan peribadi”.
“Jadi menggunakan dana kerajaan untuk menerbitkan filem dan diberikan kepada Umno bukan mencuri, tetapi amal kebajikan?” soal beliau.
Menyifatkan Annuar mengalami sindrom penafian kerana mempercayai Umno tidak bersalah, Tariq berkata, di bawah undang-undang pengubahan wang, adalah tidak penting sama ada wang terbabit telah dibelanjakan atau tidak sekiranya akaun dibekukan.
“Selagi sesuatu akaun disyaki menyimpan wang haram, akaun itu boleh dibekukan sama ada wang itu telah dibelanjakan atau sebaliknya pada masa ia dibekukan,” kata beliau.
Annuar dilaporkan mendakwa wang di dalam akaun parti itu yang dibekukan tidak ada kaitan dengan 1MDB kerana dana daripada Najib telah habis dibelanjakan pada 2014.
“Saya boleh bersumpah bagi pihak Umno, tidak ada 1 sen pun daripada wang yang dibekukan dalam akaun Umno mempunyai kaitan dengan 1MDB,” beliau dilaporkan berkata kepada perwakilan Umno di Kuala Terengganu semalam.
“Saya berani membuat kenyataan ini kerana saya telah melihat dokumen itu secara terperinci.
“Dakwaannya ialah (Umno) terima (dana) daripada akaun Najib pada 2011, 2012 dan 2013. Menjelang 2014, wang yang diterima daripada akaun Najib telah habis digunakan.
“Wang pada 2018 adalah pendapatan dari 2016 dan 2017, (ia) tiada kaitan dengan 1MDB.