Aktiviti kuari ancam Gunung Lanno di Lembah Kinta

Aktiviti kuari ancam Gunung Lanno di Lembah Kinta

Tujuh daripada 20 gua terpanjang di Malaysia terletak di Gunung Lanno dan banyak kertas penyelidikan yang ditulis mengenai gunung itu serta keperluan untuk memuliharanya.

Geopark Lembah Kinta yang meliputi kawasan seluas 1,952 km dan merangkumi daerah Kinta dan Kampar dimayshurkan oleh Sultan Perak sebagai geopark kebangsaan pada Oktober tahun lepas. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Gunung Lanno, antara gunung terbesar di Lembah Kinta, Perak yang dilaporkan memiliki kira-kira 36 gua batu kapur yang cantik dan unik, kini terancam kerana aktiviti kuari mula menjejaskan warisan geologi itu.

Kecantikan Gua Air di gunung yang didakwa merupakan satu-satunya gua di Perak yang mempunyai struktur untuk menakung air dan juga laluan untuk air mengalir terjejas apabila letupan dari kuari mencacatkan gua itu baru-baru ini.

Penggemar aktiviti luar Uzair Suhairi, 27, berkata, kerajaan Perak perlu bertindak pantas memulihara gunung ini yang mempunyai begitu banyak gua dengan pelbagai tarikan, termasuk gua yang mempunyai kristal dan merupakan satu dunia yang tersembunyi dan perlu diterokai.

“Usaha untuk mengkaji dan mendokumen maklumat mengenai gunung ini perlu dilakukan segera memandangkan maklumat yang mengatakan terdapat 36 gua di Gunung Lanno telah dijalankan oleh peminat dan pengaji gua tempatan dan luar negara pada 2001.

“Mungkin ada lagi gua yang tidak dapat dikesan,” katanya baru-baru ini semasa lawatan ke gunung itu yang dianjurkan oleh Kinta Valley Watch, sebuah pertubuhan komuniti yang berpangkalan di Ipoh.

Bagi pencinta alam Vyonne Blake, anak kelahiran Ipoh dan kini menetap di Scotland, beliau tidak faham mengapa pihak bertanggungjawab mengeluarkan permit membenarkan gunung itu diletupkan memandangkan banyak artikel ditulis mengenai khazanah warisan geologi itu.

“Tujuh daripada 20 gua terpanjang di negara ini terletak di Gunung Lanno, dan terdapat begitu banyak artikel dan kertas penyelidikan yang ditulis mengenai gunung itu serta keperluan untuk memulihara dan memeliharanya.

“Namun gunung khusus telah diletupkan, “kata Vyonne yang merupakan pentadbir akaun Facebook awam “Kinta Heritage” yang didedikasikan untuk pemuliharaan, penghantaran dan promosi sejarah, warisan dan identiti Lembah Kinta.’

Yvoone berusia 60-an berkata, beliau tidak menentang aktiviti kuari, tetapi mahukan industri kuari di Ipoh diurus dengan lebih baik, seperti yang pernah dirancang 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri agar industri itu menjalankan aktiviti mereka di bawah tanah.

Terdapat beberapa industri batu kapur di Perak yang menjalankan kegiatan kuari di bawah tanah seperti Tasek Corp di Kinta, Hume Cement di Kampar dan Lhoist di Batang Padang.

“Mereka harus membiarkan bukit batu kapur untuk kita nikmati. Ini warisan semula jadi, mereka tidak boleh memusnahkannya, “katanya.

Geopark Lembah Kinta yang meliputi kawasan seluas 1,952 kilometer dan merangkumi 2 daerah di Perak, iaitu Kinta dan Kampar, dimayshurkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Oktober tahun lepas sebagai geopark kebangsaan.

Dilaporkan bahawa sejumlah 18 tapak geo yang terletak di kawasan itu disenaraikan, termasuk Gunung Lang, Gua Tambun, Gua Naga Mas, Gua Tempurung, Gunung Korbu, Sungai Jeram, Hutan Lipur Ulu Kinta, Air Terjun Sungai Salu dan beberapa yang lain lagi.

Persatuan Pencinta Alam Perak pernah melaporkan bahawa ekspedisi sepasukan ahli speleologi ke Gunung Lanno pada akhir 1990-an dan awal 2000 menjumpai 36 gua dan mendokumenkannya, kecuali Gua Thai Monk, Gua Batu Pencuri and Gua di tepi Tasik. Ia menyifatkan penemuan itu satu keajaiban botani.

Bagi ahli kaji bumi, kaji gua, kaji hayat dan pemuliharaan warisan, di gua terbabit, terdapat bukti aktiviti perlombongan timah dan kebudayaan di situ, seperti penemuan kuil gua.

Sebahagian besar penemuan dibuat semasa Ekspedisi Kaji Gua Antarabangsa Gunung Lanno Malaysia 2001.

Mereka jua turut sampai ke puncak gunung itu dengan merekodkan pelbagai jenis flora terdapat di setiap 100 meter pendakian, dengan hutan buluh dan orkid hutan di temui di puncak.

Kertas kerja bertajuk “Pemuliharaan Sistem Gunung Lanno – Cadangan untuk tapak geoheritage” dibentangkan di beberapa persidangan, termasuk Persidangan Kebangsaan Geosains 2014 di Terengganu dalam usaha mengetengahkan keunikan Gunung Lanno.

Pada 2011, MNS Perak melaporkan pada waktu itu terdapat 8 syarikat kuari beroperasi di kaki Gunung Lanno dengan 5 syarikat yang amat aktif.

Dua sahabat, Goh Ah Poon, 61, dan Gan Lim, 57, berharap kerajaan negeri Perak mengambil langkah untuk memulihara Gunung Lanno.

Anak kelahiran Ipoh dan bekerja di Kuala Lumpur, Gan berkata, ialah sesuatu yang unik dan warisan yang perlu dipelihara.

“Kami berharap kerajaan Perak memikirkan manfaat jangka panjang, bukannya faedah jangka pendek,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.