Tragedi MH17: Ukraine tahan bekas tentera anti-pesawat

Tragedi MH17: Ukraine tahan bekas tentera anti-pesawat

Volodymyr Tsemakh ditahan pada 27 Jun dalam satu operasi oleh pihak berkuasa wilayah pemisah Republik Rakyat Donetsk.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak dengan menggunakan peluru berpandu di ruang udara Ukraine timur pada 17 Julai 2014. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pasukan keselamatan Ukraine menahan bekas guner anti pesawat berhubung insiden menembak jatuh pesawat MH17 Penerbangan Malaysia, lapor BBC Rusia.

Volodymyr Tsemakh ditahan pada 27 Jun dalam satu operasi oleh pihak berkuasa wilayah pemisah Republik Rakyat Donetsk (DNR).

Peguam Tsemakh, Roman Hontarev dan anak perempuannya yang tinggal DNR mengesahkan perkara itu, agensi penyiaran itu melaporkan.

Hontarev berkata, Tsemakh kemudiannya dipindahkan ke Kyiv, ibu negara Ukraine.

“Pada 29 Julai, hakim daerah Shevchenkivsky di Kyiv mengarahkan beliau ditahan selama 2 bulan. Tarikh rayuan belum ditetapkan,” kata BBC Rusia.

Agensi itu melaporkan penahanan Tsemakh dibuat kurang sebulan selepas Pasukan Siasatan Bersama (JIT) diketuai Belanda berhubung tragedi itu menamakan 4 suspek yang menurutnya bertanggungjawab ke atas kejadian.

Mereka ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia, Igor Girkin; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov daripada Perkhidmatan Perisikan Tentera Rusia dan Leonid Kharchenko, bekas komander Ukraine.

Waran antarabangsa dikeluarkan ke atas mereka dan satu perbicaraan dijadualkan bermula di Belanda pada 9 Mac 2020.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak dengan menggunakan peluru berpandu di ruang udara Ukraine timur yang dikuasai pemberontak yang disokong Rusia pada 17 Julai 2014.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal maut.

Rusia menafikan penglibatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.