Salah faham tentang minyak sawit tamat selepas pertemuan menteri, sekolah

Salah faham tentang minyak sawit tamat selepas pertemuan menteri, sekolah

Pelajar hanya melakonkan semula watak dalam satu klip video anti-minyak sawit yang diterbitkan oleh sebuah NGO.

Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok menghadiahkan minyak sawit merah kepada Andrew Dalton, pengarah pendidikan Sekolah Antarabangsa@Park City. Turut hadir, pengetua sekolah Jonathan Turner (2 dari kanan) dan pengarah pengurusan bandar ParkCity, Sukhdev Singh. Di sebelah kiri ialah CEO Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Kalyana Sundram.
PETALING JAYA:
“Insiden malang” melibatkan sebuah sekolah antarabangsa yang didakwa menyebarkan pesanan anti-minyak sawit dalam kalangan pelajarnya selesai berikutan pertemuan antara Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok dengan pentadbir sekolah berkenaan.

Teresa berkata, pentadbir sekolah tersebut menjelaskan bahawa pelajar yang terbabit dalam persembahan yang mengundang kontroversi itu hanya melakonkan semula watak dalam satu klip video anti-minyak sawit yang diterbitkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semalam saya dikunjungi oleh pentadbir kanan Sekolah Antarabangsa@Parkcity; pengarah pendidikannya, Andrew Dalton; pengetua, Jonathan Turner dan pengarah Parkcity, Sukhdev Singh.

“Ini berikutan kenyataan saya bahawa pihak sekolah menyebarkan pesanan anti-minyak sawit kepada pelajar mereka, yang mendapat liputan meluas media.

“Mereka menunjukkan satu klip video yang dipertontonkan kepada perhimpunan pelajar kepada saya. Klip itu termasuk satu petikan video anti-minyak sawit berjudul “Rang-Tan” yang diterbitkan oleh GreenPeace.

“Pelajar hanya melakonkan watak yang diambil daripada klip video anti-minyak sawit itu, yang ditunjukkan kepada perhimpunan,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Katanya, pentadbir sekolah meminta maaf atas “insiden malang” itu dan memberitahunya bahawa mereka sepatutnya boleh menangani keadaan itu lebih baik.

Teresa berkata, dalam pertemuan itu, beliau mengulangi pendiriannya bahawa isunya bukanlah untuk menyekat kebebasan bersuara di sekolah.

“Sebaliknya ia adalah berkaitan keperluan mendapatkan kefahaman lebih menyeluruh berhubung kontroversi minyak sawit, terutamanya pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan dan industri minyak sawit ke arah kemampanan keseluruhan rantaian nilai industri tersebut.”

Beliau berkata, industri minyak sawit dikawal selia oleh 60 undang-undang dan peraturan, selain dasar kerajaan yang menghendaki keseluruhan industri tersebut mematuhi pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO).

Katanya, Kementerian Kewangan baru baru ini memperuntukkan RM100 juta bagi membantu membayar kos pensijilan pekebun dan penanam kecil sawit dengan keluasan kebun kurang 1,000 hektar.

“Dalam perbincangan kami, saya menjelaskan kepada mereka tentang manfaat kesihatan minyak sawit, termasuk minyak sawit merah dan vitamin E tocotrieniol. Mereka terkejut mendengarnya,” kata beliau.

“Saya juga beritahu mereka bahawa minyak sawit mengundang kontroversi kerana produktivitinya yang tinggi.

“Tanpa minyak sawit dan dengan pertambahan penduduk dunia, maka lebih banyak tanah terpaksa dibuka untuk menanam tanaman penghasil minyak lain yang lebih rendah produktivitinya bagi memenuhi keperluan dunia.”

Teresa berkata, beliau juga menjelaskan kepada pentadbir sekolah tersebut tentang kepentingan minyak sawit kepada ekonomi Malaysia, iaitu “minyak sawit berjaya menarik keluar berjuta-juta rakyat di luar bandar daripada perangkap kemiskinan.”

Katanya, beliau menghargai keikhlasan pihak sekolah dalam mengatasi salah faham itu, selain merakamkan harapan insiden itu akan “membuka pintu ke arah hubungan lebih luas dengan sekolah antarabangsa lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.