
Ini merupakan kenyataan pertama yang diluluskan Majlis Keselamatan sejak pertempuran meletus pada April. Ia turut menggesa agar kedua-dua pihak kembali kepada rundingan politik yang dimediasi oleh PBB.
Satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan diadakan untuk meluluskan satu kenyataan akhbar pada Rabu susulan serangan ke atas pusat tahanan migran di Tajoura, Tripoli yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa dan mencederakan 130 lagi.
Diplomat AS pada asalnya tidak meluluskan kenyataan itu atas alasan mereka memerlukan kebenaran Washington untuk mengundi bagi menyokongnya, menurut laporan.
Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Negara (GNA) Libya menyalahkan pasukan tentera Komander Khalifa Haftar yang didakwa melancarkan serangan udara itu.
Pada awal April, Haftar, pemerintah pasukan tentera yang setia kepada kerajaan berpangkalan di timur Libya, melancarkan kempen ketenteraan secara besar-besaran untuk menawan ibu negara namun gagal mencapai objektif utama meskipun berjaya menguasai beberapa bandar strategik di kawasan berhampiran.
Kenyataan itu menyebut Majlis Keselamatan “amat bimbang” dengan situasi semasa kemanusiaan di Libya dan “menggesa semua negara anggota agar tidak campur tangan dalam konflik tersebut atau mengambil langkah yang boleh memburukkan lagi konflik.”
Majlis itu turut menggesa semua negara anggota agar menghormati sekatan senjata terhadap Libya, yang diumumkan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bulan lepas.