
Beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa tindakan boleh diambil di bawah Akta hasutan terhadap pihak yang menggesa supaya Sarawak menarik diri daripada persekutuan Malaysia kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau di Dewan Rakyat, Mahathir berkata, dasar kerajaan adalah untuk menggalakkan kebebasan bersuara dan Akta Hasutan hanya akan digunakan dalam kes yang menyaksikan perbuatan menghasut menimbulkan keadaan di luar kawalan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Saya bersetuju dengannya (Mahathir). Ada hadnya apabila anda bercakap tentang kedaulatan (negara),” kata Abang Johari ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah Program Pembiayaan Pendidikan Petronas Sarawak di sini, malam tadi.
149 pelajar Sarawak menerima anugerah masing-masing daripada Petronas.
Terdauhulu, Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan berkata, bercakap tentang kemerdekaan atau pemisahan tidak bercanggah dengan undang-undang.
Katanya, tidak wujud peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 atau Laporan Jawatankuasa Bersama Kerajaan yang menyentuh hak Sabah dan Sarawak untuk keluar Malaysia.
Katanya, di bawah undang-undang antarabangsa, wujud hak intrinsik bagi koloni atau sebahagian daripada sebuah wilayah untuk menarik diri sekiranya mereka berdepan tekanan politik, penindasan atau dominasi oleh negara atau wilayah induk.