
Bekas perdana menteri itu berkata, ini berdasarkan kecaman pengguna internet terhadap catatan bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu di Facebook semalam.
Beliau merujuk tindakan Kadir menyangkal artikel pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Muein Abadi mendakwa kerajaan PH menjual aset berjumlah RM20 bilion sejak memerintah negara selepas pilihan raya umum tahun lalu.
Semalam, Kadir berkata, Khazanah menjual asetnya setiap tahun dan di bawah pemerintahan Barisan Nasional, aset berjumlah RM45.3 bilion dijual Khazanah sejak 2009 hingga 2017.
Hari ini, Najib mempersoalkan jika Kadir ialah penasihat media dan komunikasi perdana menteri atau tentera siber susulan reaksinya terhadap komen pengguna Facebook.
“Mula-mula saya ragu bahawa yang buat komen-komen ini adalah akaun palsu yang menyamar Pak Kadir.
“Tapi bila saya klik nama, memang tuan rumah FB itu yang memberi komen-komen itu.
“Sebenarnya, dia ni penasihat media dan komunikasi PM ke-7 atau ‘Cybertrooper’?” soalnya dalam catatan Facebook hari ini.
Terdahulu, Kadir hari ini mendakwa kerajaan PH terpaksa menjual aset negara, termasuk Hotel Royale Chulan di Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera dijual kepada syarikat Singapura, kerana timbunan “najis” kewangan yang ditinggalkan kerajaan pimpinan Najib.