Sidang meja bulat bincang masa depan industri nadir bumi 10 Julai ini

Sidang meja bulat bincang masa depan industri nadir bumi 10 Julai ini

Nadir bumi adalah input perlu dalam industri automotif dan akan menjadi lebih penting berikutan perkembangan kenderaan elektrik, industri elektronik, minyak dan gas dan tenaga boleh diperbaharui.

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.
PETALING JAYA:
Global Business Forum Malaysia akan menganjurkan satu sidang meja bulat peringkat tinggi pada 10 Julai ini bagi membincangkan masa depan industri nadir bumi di Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof dijangka menyampaikan ucaptama kepada acara tersebut.

Sidang meja bulat itu bertujuan menjadikan Malaysia sebuah ekonomi maju dengan memanfaatkan rantaian nilai nadir bumi, kata Global Business Forum dalam satu kenyataan.

Perbincangan tersebut akan melibatkan pembuat dasar, pemain industri, syarikat berkaitan kerajaan, agensi pembangunan kerajaan, ahli akademik dan pemegang taruh lain bagi membantu merangka hala tuju strategik dan mencadangkan langkah seterusnya.

Kenyataan itu menyebut, sidang berkenaan tepat masa kerana dalam beberapa minggu kebelakangan ini, industri nadir bumi dunia mengambil tempat utama dalam perbincangan antara Amerika Syarikat dan China.

Nadir bumi adalah input perlu dalam industri automotif dan akan menjadi lebih penting berikutan perkembangan kenderaan elektrik, industri elektronik, minyak dan gas dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa ini, China mendominasi industri nadir bumi dengan pegangan lebih 80%. Berikutan ketegangan terbaru, pengguna industri di seluruh dunia bimbang berkenaan penerusan bekalannya.

“Malaysia berada di kedudukan istimewa dalam membangunkan rantaian bekalan nadir bumi alternatif dan mengambil langkah strategik jangka panjang dalam industri pertumbuhan utama.

“Masa depan aspirasi industri berteknologi tinggi Malaysia bergantung pada kemampuannya untuk terlibat dalam aktiviti hiliran pemprosesan nadir bumi untuk pasaran dunia.

“Peluang bernilai berbilion ringgit untuk terlibat dalam rantaian nilai bahan kritikal ini mesti diambil sebelum pemain serantau lain menarik kepakaran perlu serta pelaburan untuk mengatasi kedudukan semasa Malaysia dalam industri ini,” kata kenyataan itu lagi.

Persoalan penting dihadapi Malaysia dalam hal ini ialah bagaimana ia akan melangkah maju seiring dengan perkembangan industri yang memperkuatkan usahawan dan mencipta pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor yang juga bernilai tinggi.

“Bagi mencapai objektif ini, Malaysia perlu mempunyai visi jelas dan strategi mantap yang disokong oleh dasar yang jelas dan dipacu oleh pemain industri dengan kekuatan kewangan untuk mengambil kesempatan ke atas peluang yang wujud di peringkat dunia,” kata kenyataan itu.

Pengerusi Mara Corporation (Mara Corp), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, Malaysia perlu membangunkan ekosistem sesuai bagi memastikan kejayaan dan penyertaan aras tinggi tempatan dalam inisiatif teknologi tinggi kerajaan pada masa depan seperti aeroangkasa dan kereta nasional ke-3.

“Dengan memanfaatkan kedudukan startegik Lynas sebagai satu-satunya kilang nadir bumi di luar China, sebagai sebahagian daripada mandat Mara untuk memacu pertumbuhan ekonomi, Mara Corp berminat untuk bekerjasama dalam membangunkan pangkalan sumber manusia, meneroka pembangunan teknologi berasaskan nadir bumi dan peluang pelaburan yang ditawarkan.”

Beliau berkata, penglibatan Bumiputera yang besar dalam aktiviti pemprosesan nadir bumi melalui Lynas menyaksikan lebih 90% kakitangannya merupakan orang Melayu, termasuk pakar teknologi dan operator “dalam bidang sains peringkat tinggi”.

Akhramsyah juga dijangka berucap pada sidang meja bulat yang dijadualkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.