Kini rakyat Malaysia boleh tonton filem terbitan Riza Aziz lakonan DiCaprio

Kini rakyat Malaysia boleh tonton filem terbitan Riza Aziz lakonan DiCaprio

Masa filem itu dimasukkan ke dalam Netflix bertepatan dengan masa pendakwa raya mengenakan 5 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM1 bilion terhadap Riza Aziz.

Filem ‘”The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
PETALING JAYA:
Lebih ramai rakyat Malaysia akhirnya dapat menonton “The Wolf of Wall Street”, filem arahan Martin Scorsese yang dibintangi Leonardo DiCaprio yang terperangkap dalam skandal 1MDB.

Filem terbitan 2013 itu yang diharam tayang di Malaysia kerana adegan seks dan dadah yang berlebih-lebihan serta penggunaan perkataan lucah, diberi penarafan 18+ dengan catatan “galak” untuk tayangan atas talian berasaskan langganan.

Masa filem itu dimasukkan ke dalam Netflix bertepatan dengan masa pendakwa raya mengenakan 5 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM1 bilion terhadap Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri, Najib Razak. Riza merupakan pengerusi bersama penerbit Red Granite Pictures.

Filem berdurasi 3 jam itu dinamakan oleh Jabatan Kehakiman AS dalam saman pelucuthakan sivilnya untuk mendapatkan berbilion dolar yang dicuri daripada 1MDB.

Penyiasat berkata sebahagian daripada wang yang dicuri itu digunakan untuk membiayai penerbitan filem itu, yang dianggarkan bernilai AS$100 juta.

Filem itu yang turut dibintangi Margot Robbie, Jonah Hill, Matthew McConaughey, Kyle Chandler, Jon Favreau dan Rob Reiner, memenangi anugerah Golden Globe bagi Pelakon Terbaik (DiCaprio) dan 5 pencalonan Academy Award untuk Gambar Terbaik, Pelakon Terbaik (DiCaprio) Pengarah Terbaik (Martin Scorsese), Pelakon Pembantu Terbaik (Jonah Hill) dan Lakon Layar Terbaik (Terence Winter).

Di Singapura, filem itu ditayangkan di pawagam terpilih kerana kandungannya yang lucah dengan penarafan “R21” yang menghadkan penonton yang berusia lebih 21 tahun.

Pada Mac tahun lepas, Red Granite milik Riza bersetuju membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS untuk menyelesaikan tuduhan bahawa ia mendapat keuntungan daripada wang rasuah melibatkan 1MDB. Pembayaran itu diselesaikan dalam tempoh 6 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.