Artis AS ditahan ‘kurang dari 24 jam’, imigresen sangkal dakwaan

Artis AS ditahan ‘kurang dari 24 jam’, imigresen sangkal dakwaan

Maggie Lindemann ditahan kurang dari 24 jam dan barang kes diserahkan pada 25 Jun selepas selesai proses pendakwaan, kata ketua pengarah.

Maggie Lindemann. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Imigresen menafikan dakwaan seorang artis warga Amerika Syarikat ditahan selama 5 hari susulan dakwaan penyalahgunaan pas lawatan sosial.

Ketua Pengarah Khairul Dzaimee Daud berkata tindakan diambil secara teratur mengikut lunas undang-undang terhadap Maggie Lindemann.

“Subjek ditahan kurang dari 24 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Namun begitu, barang-barang kes masih ditahan untuk tindakan lanjut pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.”

Terdahulu, Lindemann mendakwa dia ditangkap ketika dalam perjalanan untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu, dan ditahan 5 hari di tempat yang disifatkan seperti “neraka”.

Menerangkan kejadian tersebut, Khairul menjelaskan imigresen bertindak ke atas aduan yang diterima pada 9.30 malam hari kejadian terhadap sebuah premis hiburan di ibu negara.

Dalam operasi tersebut, Lindemaan bersama 2 warga AS dan 2 orang tempatan ditangkap bawah Akta Imigresen kerana tidak mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara.

“Pada 22 Jun, semua subjek diambil keterangan oleh pegawai penyiasat untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

“Sabjek warganegara AS juga dilepaskan pada hari yang sama pada 7 petang,” katanya, manakala warga tempatan pula dilepaskan dengan jaminan polis pada 4 petang.

Imigresen berkata kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 24 Jun dan semua sabjek warga AS dikenakan kompaun RM300 setiap seorang.

“Kerana didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Salah seorang penganjur juga didakwa di mahkamah atas kesalahan Seksyen 55E Akta Imigresen, dan “dijatuhi hukuman denda RM30,000 atau penjara 1 bulan dari tarikh tangkapan jika gagal bayar”.

“Semua barang kes seperti yang direkod dalam borang rampasan diserahkan kepada semua sabjek pada 25 Jun setelah proses pendakwaan selesai dijalankan dan pihak penganjur membayar denda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.