2 NGO berang JAS lulus projek tambak 3 pulau di P Pinang

2 NGO berang JAS lulus projek tambak 3 pulau di P Pinang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia bimbang projek tebus guna 3 pulau itu akan menjejaskan aktiviti perikanan, kawasan pendaratan penyu dan menyebabkan berlaku aktiviti perlombongan pasir.

PSR berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.TEMPATAN
GEORGE TOWN:
Dua badan bukan kerajaan berang dengan tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan projek tambak laut untuk 3 pulau tanpa menghiraukan kebimbangan terhadap alam sekeliling dan penduduk setempat yang bakal timbul.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, kelulusan itu “tidak dapat dijelaskan dan tidak wajar” berdasarkan kelemahan dalam penilaian impak alam sekitar (EIA) ke atas projek itu.

Pemangku presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Presiden SAM, Meenakshi Raman menyifatkan tindakan kerajaan negeri mengulangi alasan penambakan laut disebabkan kekurangan tanah tidak munasabah kerana ada tanah dengan keluasan sama di Seberang Perai.

Kumpulan itu juga bimbang pelaksanaan projek itu akan menjejaskan aktiviti perikanan, kawasan pendaratan penyu dan perlombongan pasir.

Katanya, projek itu akan menjejaskan 1,500 nelayan berskala kecil, penggalian pasir di perairan Perak dan kawasan pendaratan penyu lipas serta penyu hijau di Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Pantai Medan, Teluk Tempoyak serta Pantai Belanda.

“Kami kesal penyu mungkin mencari tempat bersarang alternatif jika tapak asal diganggu aktiviti manusia,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini sambil menambah kawasan sensitif alam sekitar itu akan hilang sepenuhnya kerana Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR).

“Kami pernah menggesa tidak memberi kelulusan EIA disebabkan kebimbangan asas yang kami bangkitkan. Kami amat kecewa kelulusan diberikan.”

Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, JAS memberi lampu hijau luar jangka atas 72 syarat yang dikemukakan kepada negeri itu.

PSR berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Tanah yang ditebus guna itu milik kerajaan negeri, tetapi akan dilelongkan kepada pembina tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Hari ini, CAP dan SAM turut menggesa JAS segera mendedahkan 72 syarat yang dikenakan ke atas Pulau Pinang.

Mereka menyifatkan populasi 3 pulau itu yang dianggarkan mencecah 446,300 orang atau 24,522 orang setiap kilometer persegi tidak realistik, tiada asas dan justifikasi dengan mengambil kira kadar kelahiran setiap wanita 1.4, lebih rendah daripada kadar 2.04 di seluruh negara.

Kumpulan itu berkata, purata kadar penghijrahan di Pulau Pinang ialah 9,000 orang dalam 20 tahun lalu.

Mereka turut membidaskan kenyataan kurang jelas yang dikeluarkan pihak berkaitan mengenai PSR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.