
Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, buat masa sekarang seramai 30 anggota daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) masih ditempatkan di situ untuk melaksanakan tugas.
Beliau berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan masih belum memutuskan sama ada untuk menamatkan atau tidak larangan berkenaan.
“Kita (polis) hanya menunggu arahan daripada pihak yang mempunyai kepakaran dan hanya menjalankan arahan seperti yang terkandung dalam Peraturan 20 Majlis Keselamatan Negara.
“Bagi orang ramai yang mengggunakan laluan di situ diharap supaya bersabar kerana jika dinilai dari sudut kesihatan, peraturan ini masih diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.
Sementara itu, Hasanuddin berkata keadaan seorang anggota PGA8 yang sebelum ini disahkan diserang penyakit cacar air kini beransur pulih.
Namun, katanya anggota berkenaan masih lagi dirawat di Hospital Gua Musang dan sekiranya menunjukkan perkembangan positif mungkin dijangka keluar tidak lama lagi.