Teresa pertahan kritikan terhadap sekolah anjur konsert anti minyak sawit

Teresa pertahan kritikan terhadap sekolah anjur konsert anti minyak sawit

MPOB sebelum ini berdepan kesukaran dengan beberapa sekolah antarabangsa di Lembah Klang yang menolak tawaran untuk mengadakan sesi kesedaran minyak sawit dengan pelajar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok.
PETALING JAYA:
Menteri Industri Utama Teresa Kok menggesa diadakan dialog terbuka dengan semua sekolah antarabangsa berhubung industri minyak sawit beberapa hari selepas membidas sebuah sekolah di Kuala Lumpur kerana mengadakan satu konsert yang menyaksikan pelajar membuat persembahan menyokong lobi anti minyak sawit.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, kritikan beliau bukanlah percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi bertujuan merakamkan kekecewaan dan kekesalan terhadap keadaan yang disifatkannya sebagai kurang faham mengenai industri terbabit serta usaha ke arah pemuliharaan dan kemapanannya.

“Walaupun saya menghormati pandangan berbeza pihak lain mengenai industri minyak sawit, termasuk guru serta pelajar sekolah antarabangsa, namun saya mahu menegaskan bahawa mereka juga perlu berfikiran terbuka bagi mendapatkan gambaran penuh keadaan sebenar,” katanya.

“Keterbukaan itu akan membolehkan mereka memahami cabaran yang dihadapi pekebun kecil dengan lebih baik, selain usaha dijalankan oleh kerajaan dan industri minyak sawit berhubung banyak perkara, termasuk yang berkait dengan penanaman mampan dan pemuliharaan lebih baik.”

Terdahulu Kok menuduh sekolah terbabit tidak menyokong usaha kerajaan menyanggah lobi anti minyak sawit dengan berkata, beberapa sekolah antarabangsa tidak membenarkan pegawai beliau mengadakan sesi penerangan mengenai manfaat minyak sawit.

Dalam kenyataan hari ini, Teresa berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebelum ini berdepan kesukaran dengan beberapa sekolah antarabangsa di Lembah Klang yang menolak tawaran untuk mengadakan sesi kesedaran minyak sawit dengan pelajar.

Beliau juga mendakwa, sebilangan ibu bapa mengadu bahawa guru di sekolah antarabangsa menyebarkan pesanan anti minyak sawit kepada pelajar mereka.

“Isu terbaru ini pun dimaklumkan kepada kami oleh ibu bapa pelajar yang belajar di sekolah berkenaan.”

Katanya, sebagai menteri undustri utama, beliau maklum tentang kritikan terhadap industri minyak sawit.

“Saya tidak secara membuta tuli mempertahankan kesalahan tertentu yang dilakukan oleh pemain industri sebelum ini.

“Lebih penting ialah mengatasi kesalahan itu bagi mewujudkan perancangan lebih baik yang menyasarkan matlamat kemampanan lebih baik, termasuk pemuliharaan alam sekitar serta hidupan liar lebih baik dalam rantaian perbekalan minyak sawit Malaysia.”

Katanya, adalah menyedihkan untuk melihat rakyat Malaysia sendiri menolak komoditi negara dalam keadaan kerajaan terus berdepan dengan kempen anti minyak sawit di negara Barat.

“Hanya dengan dialog terbuka kita dapat merapatkan jurang kefahaman mengenai komoditi ini yang merupakan talian hayat ramai pekebun kecil di negara ini,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.