Pelacuran: Polis KL tangkap 1,401 warga asing dari Jan-Jun tahun ini

Pelacuran: Polis KL tangkap 1,401 warga asing dari Jan-Jun tahun ini

Daripada 1,401 warga asing yang ditangkap kerana kegiatan pelacuran di Kuala Lumpur, 1,167 adalah perempuan dan 234 lelaki.

Pelacur warga Vietnam merupakan pecahan terbesar yang ditangkap, iaitu seramai 317 orang merangkumi 309 perempuan dan 8 lelaki, diikuti Thailand seramai 275 orang dan China 227. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 1,401 warga negara asing sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019 kerana terlibat dengan kegiatan pelacuran dalam serbuan dibuat di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, 1,167 perempuan dan 234 (lelaki).

“Warganegara Vietnam merupakan pecahan terbesar yang ditangkap, iaitu seramai 317 orang merangkumi 309 perempuan dan 8 lelaki, diikuti Thailand seramai 275 orang, merangkumi 266 perempuan dan 9 lelaki, sementara China seramai 227 orang merangkumi 213 perempuan dan 14 lelaki.

“Polis Kuala Lumpur turut membuat sebanyak 569 tangkapan ke atas warga tempatan yang terdiri daripada 242 orang perempuan, yang terlibat dengan kegiatan pelacuran dan 327 lelaki yang merupakan penjaga premis yang menjalankan kegiatan pelacuran, sepanjang Januari hingga Jun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan berkata, tindakan saman untuk premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat pusat hiburan di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan turut dikeluarkan, iaitu sebanyak 136 saman.

Untuk tempoh sama, pihak polis juga turut giat memerangi kegiatan perjudian dalam talian (JOL) dan berjaya menangkap seramai 794 orang kerana terlibat dengan kegiatan itu.

Sebanyak 89 serbuan diadakan dan polis berjaya merampas wang tunai RM98,357 dan 111 buah “tablet”, 1,100 buah telefon, 2 buah Ipad, 333 buah komputer riba, 522 buah komputer, 101 modem, 55 router serta 3 simulator.

Sementara itu, sebanyak 388 tangkapan dalam tempoh sama melibatkan kegiatan jenis perjudian lain dengan nilai barang rampasan berjumlah RM97,393 diperolehi dalam serbuan tersebut.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Undang-Undang Pencegahan Jenayah sedia ada, terhadap tauke judi dan orang tengah (runner) dalam usaha memerangi aktiviti JOL selaras dengan kehendak pimpinan polis.

Polis Kuala Lumpur turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dan kegiatan pelacuran.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.