
Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah berkata tiada keperluan mengadakan inkues kerana agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan, Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca kematian itu.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri meninjau keadaan di Gua Musang dan mengeluarkan kenyataan kematian itu bukan disebabkan perlombongan atau pencemaran.
“Jika masih ada pihak mahu melakukan inkues, seolah-olah ianya tidak percaya dan mempersoalkan kredibiliti TPM dan agensi berkaitan dengan laporan dan kenyataan rasmi yang telah dibuat,” katanya selepas merasmikan Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-Fursan, Pengkalan Chepa hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Dalam Negeri sedia mempertimbangkan cadangan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) di Dewan Rakyat semalam untuk mengadakan inkues menentukan punca kematian 15 Orang Asli di Kuala Koh.
Amar berkata, kerajaan negeri melihat tiada keperluan mengadakan inkues kerana punca kematian sudah diumumkan.
Beliau mengesyaki ada pihak yang mempunyai agenda di sebalik cadangan inkues itu.
“Saya lihat ada satu pihak yang tidak berpuas hati apabila laporan dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan itu positif kepada kerajaan negeri, jadi mereka seolah-olah mahu kerajaan negeri dipersalahkan sebab itu mungkin lahirnya cadangan untuk inkues ini.
“Malah, sehingga hari ini masih ada pihak yang turun ke kawasan berkenaan cuba mencari sampel air dan sebagainya, seolah-olah mahu kaitkan isu di Kuala Koh dengan perlombongan di kawasan berkenaan.”
Katanya, perhatian sepatutnya diberikan kepada pencemaran di Pasir Gudang, bukannya di Kuala Koh.
“Isu di Pasir Gudang lebih serius dan ianya berlaku 2 kali dalam tempoh singkat.”