
Beliau berkata, idea pembentukan jawatankuasa itu dikemukakan oleh Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dalam perbincangan mereka kelmarin dan akan diumumkan secara rasmi oleh kerajaan Johor.
“Jawatankuasa itu akan menyelaras semua pihak terlibat, seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, pihak bekuasa tempatan dan Pejabat Tanah.
“Jawatankuasa khas itu akan berjalan selama 6 bulan bagi memastikan insiden pencemaran tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Penggerak Dasar Komuniti Negara di Kompleks Rakan Muda di Bera, Pahang, semalam.
Zuraida juga memberi jaminan akan memajukan dakwaan seorang bapa bahawa anaknya dijangkiti sindrom Myokimia berikutan pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Pasir Gudang kepada pihak berwajib, termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Dakwaan bapa berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin.
Beliau mendakwa, anak lelakinya berusia 12 tahun tidak boleh berdiri sendiri dan menggeletar tubuh badan. Selain mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur, katanya, beliau bercadang menyaman pihak berkuasa berhubung perkara itu.