
Diplomat itu yang sebelum ini bertugas di Kedutaan Korea Selatan di Washington DC, dipotong gaji selama 3 bulan seperti yang diputuskan jawatankuasa tatatertib kerajaan pada minggu lalu, kata pegawai kementerian kepada pemberita.
Dia disiasat kerana gagal mengawal selia berhubung pembocoran maklumat oleh seorang pegawai bawahannya berkaitan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu pada 7 Mei lalu.
Kementerian Luar memecat diplomat yang membocorkan perbualan telefon itu kepada Ahli Parlimen Khang Hyo Shang dari Parti Pembebasan Korea yang menjadi pembangkang utama negara berkenaan serta menfailkan aduan jenayah terhadap mereka berdua.
Seorang lagi pegawai turut dikenakan tindakan tatatertib kerana menyampaikan salinan perbualan berkenaan kepada diplomat itu.
Dalam perbualan telefon itu, Moon dilaporkan meminta Trump melawat Seoul serta merta sejurus lawatannya ke Jepun pada 25 hingga 28 Mei dan Trump mencadangkan dia singgah sekejap di Seoul dalam perjalanan pulang dari Tokyo.
Khang mendedahkan perbualan itu pada awal Mei, sambil mendakwa Moon “merayu” Trump supaya melawat negara itu.
Sementara itu, panel tatatertib turut memecat bekas duta ke Malaysia, Toh Kyung Hwan kerana didakwa salah guna kuasa ke atas kakitangannya dan menerima hadiah daripada ahli perniagaan, perbuatan yang mencabuli undang-undang anti-rasuah Korea Selatan.