
Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata dia akan membawa usul persendirian itu ke Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak sebulat suara bersepakat untuk mengemukakan cadangan pindaan kepada Perkara 119(1), dan selaras dengan itu juga Perkara 47 iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Jemaah menteri pada 19 September tahun lalu bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Kerajaan dijangka membentangkan usul itu di Dewan Rakyat esok.
Ismail menjelaskan cadangan kerajaan tidak secara automatik mendaftarkan warganegara berusia 18 tahun sebagai pemilih.
“Kita akan segerakan buat usul ini. Tetapi jika kerajaan buat pindaaan 18 tahun automatik berdaftar sebagai pemilih dan layak jadi calon, kita akan sokong,” katanya.