
Usul yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dibahaskan oleh 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Syed Saddiq dalam pembentangannya berkata selain mengubah had umur, ia juga mengehadkan usia pemegang jawatan dalam pertubuhan belia kepada tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikan.
“Kelesuan pergerakan belia didasari 2 faktor utama iaitu kegagalan mengadaptasi perubahan dalam corak gaya hidup dan pemikiran belia masa kini, serta kurangnya pimpinan pelapis yang boleh menggantikan pemimpin belia sedia ada,” katanya.
Sebelum ini Majlis Belia Malaysia (MBM) mempersoalkan keputusan kerajaan mengurangkan had umur maksimum yang ditakrifkan sebagai “belia” kepada 30, dan bukannya 35 yang diterima oleh semua badan gabungannya.
Presiden Jufitri Joha berkata had umur maksimum 35 diterima oleh semua pihak termasuk dipersetujui oleh Syed Saddiq sebelum ini.