
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman berkata tindakan lanjut akan ditentukan selepas pihaknya menerima laporan penuh bedah siasat dari hospital.
“Kita masih menunggu laporan ‘post mortem’ dari Jabatan Patologi dan sebagaimana saya sebut, apabila laporan ‘post mortem’ ini diterima, kita akan lihat tindakan seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) sama ada kerajaan akan melaksanakan inkues berhubung kematian Orang Asli di Kuala Koh.
Media sebelum ini melaporkan 15 kematian membabitkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh sejak 2 Mei lalu. Mangsa korban termasuk 3 bayi dengan seorang daripadanya baru berusia 7 bulan.
Pada 17 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan 3 kematian itu akibat demam campak.