
Merujuk laporan Menteri Industri Utama, Teresa Kok semalam mengenai aktiviti berbentuk propaganda anti minyak sawit di sekolah antarabangsa, Amin berkata siasatan dijalankan ke atas sekolah yang terlibat.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku dalam aktiviti tahunan sekolah yang melibatkan persembahan murid pada Jun lepas.
“Penglibatan murid dalam aktiviti berbentuk propaganda jelas bertentangan dengan dasar negara dan boleh menjejaskan nama baik negara,” katanya, sambil menegaskan kementerian memandang serius aktiviti berbentuk propaganda anti minyak sawit di sekolah antarabangsa itu.
Amin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kementerian Pendidikan juga akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah antarabangsa susulan insiden itu agar tidak berulang.
“KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir propaganda dan indoktrinasi di institusi pendidikan swasta itu yang memburukkan imej dan nama negara,” katanya.