Aktivis alam sekitar kritik Teresa bidas sekolah antarabangsa bantah industri sawit

Aktivis alam sekitar kritik Teresa bidas sekolah antarabangsa bantah industri sawit

CEO Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia berkata pelajar itu harus dipuji kerana mengambil perhatian dalam isu tersebut.

Sekumpulan pelajar bercakap mengenai pembasmian hutan di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur, dalam satu video yang tersebar di media sosial.
PETALING JAYA:
Seorang pencinta alam sekitar mengkritik Menteri Industri Utama Teresa Kok berhubung responnya terhadap video yang menunjukkan pelajar sekolah antarabangsa membantah industri minyak sawit dalam sebuah pertunjukan, mengatakan setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pandangannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia, Andrew Sebastian juga memberitahu FMT bahawa pelajar itu harus dipuji kerana mengambil perhatian dalam isu itu dengan membuat kajian dan pendirian.

“Dia (Kok) tidak boleh menghalang suara orang muda,” katanya sambil menambah kritikan menteri itu “mengerikan”.

Mengulas mengenai video itu semalam, Kok mendakwa sekolah itu tidak menyokong usaha Putrajaya menyangkal kempen antarabangsa terhadap industri sawit negara di luar negara, dan mengatakan ia tidak sepatutnya menyalahgunakan inisiatif kerajaan.

Beliau juga berkata beliau bersedia menjelaskan kepada sekolah berkenaan tentang faedah minyak sawit dan langkah yang diambil pemain industri untuk mencapai minyak kelapa sawit yang mampan.

Sebastian berkata kemusnahan alam sekitar akibat minyak sawit didokumentasikan dengan baik di negara ini. Beliau juga mendakwa wujud bukti menunjukkan bagaimana hutan hujan dan rizab sungai terjejas.

“Saya sangat kecewa dengan menteri itu,” katanya.

“Saya faham dia adalah menteri industri utama, tetapi dia dilihat lupa atau gagal mengakui amalan buruk yang berlaku dalam industri ini.

“Saya berharap rakan-rakannya di kementerian tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim akan membetulkannya.”

Beliau juga mencadangkan Kok menjemput pelajar berkenaan membuat pertunjukan itu kepadanya, mengatakan beliau “mungkin belajar sesuatu”.

Jurucakap Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata, prestasi pelajar itu tidak sepatutnya diperbesar-besarkan.

“Pelajar harus dibenarkan untuk menyatakan kebimbangan mereka terhadap isu itu. Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai serangan ke atas industri minyak sawit.”

Beliau juga menggesa pihak berkuasa mengambil pandangan positif berhubung situasi itu dan terlibat dengan pelajar untuk berkongsi bagaimana mereka berusaha membangunkan industri minyak sawit yang mampan.

Presiden Persatuan Alam Semulajadi Malaysia, Ahmad Ismail berkata Putrajaya perlu memberi tumpuan dengan memberitahu dunia apa yang dilakukan Malaysia berhubung penebangan hutan.

Beliau menasihatkan kerajaan terlibat dengan NGO untuk menyokong usaha industri minyak sawit dan isu-isu penebangan hutan.

“Mereka juga perlu menyiasat apakah yang dilakukan syarikat perladangan untuk memenuhi piawaian antarabangsa dalam pemuliharaan hutan dan hidupan liar,” katanya.

FMT cuba menghubungi sekolah antarabangsa tersebut untuk mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.