Menteri tolak dakwaan ramai pemandu e-hailing gagal lesen PSV

Menteri tolak dakwaan ramai pemandu e-hailing gagal lesen PSV

Seramai 16,338 calon menduduki ujian teori PSV di mana daripada jumlah tersebut sebanyak 10,151 lulus dan layak memohon lesen tersebut.

Loke Siew Fook berkata beliau sendiri mengambil ujian teori lesen PSV semalam dan telah lulus walaupun tidak mengikuti kursus tersebut.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menolak dakwaaan Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) bahawa kadar lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) terlalu rendah.

Menteri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) berkata bermula 1 April hingga 30 Jun 2019, seramai 16,338 calon menduduki ujian teori PSV (Teksi/E-hailing) di mana daripada jumlah tersebut sebanyak 10,151 lulus dan layak memohon lesen itu.

“Daripada jumlah tersebut, 62% calon lulus ujian tersebut dan berjaya dilesenkan, kenyataan persatuan Grab Malaysia bertarikh 14 Mei, dakwa 10-50% lulus setiap kelas adalah tak tepat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta kerajaan menyatakan apa langkah mitigasi yang diambil berikutan dakwaan GDMA di mana hanya 10-50% pemandu e-hailing lulus ujian PSV.

Loke berkata, pihaknya turut menjangkakan peningkatan lebih mendadak pemandu e-hailing menjelang 12 Julai 2019 selaras dengan pengenalan kursus secara digital yang dijalankan bermula 3 Jun 2019 di pusat latihan yang diluluskan.

Sebelum ini, GDMA bingung apabila dimaklumkan kadar kegagalan ujian lesen PSV sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.

Presidennya, Arif Asyraf Ali, berkata walaupun GDMA tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV berkenaan namun secara kasarnya beliau mendakwa 10-50% saja pemandu yang lulus dalam setiap kelas.

Tiada peningkatan tambang

Loke berkata kadar tambang yang dikenakan operator e-hailing (EHO) kekal kompetatif walaupun selepas pematuhan lesen PSV berkuatkuasa.

Katanya, peningkatan kadar tambang tidak akan berlaku kerana ia menyebabkan pengguna tidak akan memilih perkhidmatan tersebut.

“Syarikat-syarikat EHO sudah tentu perlu menawarkan kadar tambang yang berpatutan dan kompetatif kepada penumpang-penumpang mereka. Jadi saya tidak melihat ia akan berubah secara mendadak.

“Ramai yang mengatakan apabila kita (MOT) buat peraturan ini, maka kadar tambang itu akan meningkat. Itu adalah anggaran (andaian) apa yang dikatakan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

“Kita harap EHO yang sudah disahkan selepas menjalani proses peraturan, maka kadar tambang itu mestilah berpatutan. Kalau mereka tidak kompetatif, maka penumpang-penumpang tidak akan memilih perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan kaitan antara insentif kepada pemandu e-hailing dan kadar tambang yang ditanggung pengguna.

Loke ambil ujian PSV

Ketika ditemui di lobi Parlimen, Loke berkata beliau sendiri mengambil ujian teori lesen PSV semalam dan telah lulus walaupun tidak mengikuti kursus tersebut.

Beliau berkata tujuan mengambil ujian itu bagi mengetahui soalan-soalan yang dikemukakan.

“Saya lulus semalam dapat 82 markah. Daripada 60 soalan saya dapat jawab 49 soalan walaupun saya tidak mengikut kursus itu kerana banyak soalan itu logik.

“Kalau ikuti kursus itu, saya yakin ramai akan lulus. Banyak soalan-soalan logik dan sesiapa pemandu akan tahu,” katanya.

Loke juga berkata masa depan Malaysia Airlines akan diputuskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Khazanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.