Pinda Akta Perhimpunan Aman, tunggu pembentangan saya, kata Muhyiddin

Pinda Akta Perhimpunan Aman, tunggu pembentangan saya, kata Muhyiddin

RUU untuk meminda Akta Perhimpunan Awam 2012 dibacakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman di Dewan Rakyat, hari in

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak menunggu pembentangan beliau di Dewan Rakyat berhubung pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman sebelum membuat spekulasi tentang perkara itu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak supaya menunggu pembentangan beliau berhubung pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 sebelum membuat sebarang andaian atau spekulasi tentang perkara itu.

“Anda kena tunggu pembentangan saya di Parlimen nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita tentang kebimbangan bahawa pindaan ke atas akta sedia ada boleh membawa kepada demonstrasi jalanan ganas, seperti yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini.

Satu demonstrasi besar-besaran tercetus di Hong Kong selepas satu rang undang-undang kontroversi meluluskan ekstradisi penjenayah dari wilayah itu ke China untuk dibicarakan.

Terdahulu, pindaan Akta Perhimpunan Awam 2012 dibacakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kajian ke atas semua aspek sudah dilakukan dalam usaha mengeluarkan demonstrasi jalanan daripada kawalan akta tersebut.

Katanya, 2 jawatankuasa dibentuk untuk meneliti pindaan yang melibatkan beberapa peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kami mengambil kira banyak perkara dan pindaan ini tidak dilakukan oleh kementerian sahaja. Terdapat 2 jawatankuasa yang dibentuk untuk melihat semua pindaan.

“Banyak perbincangan dibuat melibatkan beberapa pihak, termasuk Majlis Peguam, persatuan Lawyers For Liberty, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Persatuan Hak Asasi Manusia Negara (Hakam).

“Kami juga mengambil kira pandangan orang ramai sebelum meneruskan keputusan. Ini menunjukkan kerajaan mahu memastikan (rakyat menikmati) peruntukan yang tercatat dalam Perlembagaan, iaitu kebebasan berhimpun dan bersuara, ” katanya.

Pada 24 Oktober, Muhyiddin dilaporkan berkata, Akta Hasutan, Sosma, Poca dan Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah antara 6 akta berkaitan keselamatan negara serta hukuman mati akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada November tahun lalu atau selewat-lewatnya pada persidangan berikut untuk pindaan atau pemansuhan.

RUU yang dibentangkan oleh Azis Jamman hari ini melibatkan pindaan ke atas Seksyen 3, 4 dan 21 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ia berikutan perubahan dasar kerajaan yang berpandangan hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata boleh termasuk dalam hak untuk menganjur atau menyertai suatu protes jalanan selagi tidak membawa ancaman dan memberi kesan terhadap keselamatan serta ketenteraman awam.

Menurut RUU itu lagi, sekiranya suatu protes jalanan menyebabkan kacau ganggu, perbuatan ganas atau perlakuan jenayah, ia boleh ditangani mengikut undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.

RUU itu juga bertujuan meminda Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman untuk memendekkan tempoh pemberitahuan bagi suatu perhimpunan dari 10 hari kepada 7 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.