
Maszlee berkata, beliau menerima beberapa aduan berhubung pihak yang mengaku sebagai pegawai kanan dan setiausaha sulit beliau untuk mendapatkan wang secara haram.
“Ada mengaku menjadi ketua setiausaha kementerian, ada yang mengaku jadi setiusaha sulit saya.
“Mereka ini meminta kontraktor membayar sejumlah wang untuk dapatkan tender tertentu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau menegaskan kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada pegawai untuk mengutip wang daripada mana-mana pihak.
Maszlee menggesa sesiapa yang berhadapan dengan pihak tidak bertanggungjawab itu supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kalau (mereka) mengaku dan minta wang, sila lapor kepada polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan jangan sesekali bagi duit. Ambil gambar dan buat laporan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai jumlah wang yang diminta oleh pihak tidak bertanggungjawab itu, Maszlee tidak pasti jumlah yang terlibat.
“Mereka tak beritahu nilai. Tapi mereka kena ‘paulah’.”
Katanya, KPM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab kerana menggunakan nama kementerian secara sewenangnya dengan tujuan yang salah dan tidak bermanfaat kepada masyarakat.
Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, KPM sentiasa mengikut secara rapat perkembangan terkini situasi pencemaran gas beracun di Pasir Gudang, Johor.
Katanya, kementerian menerima laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor setiap hari bagi memantau keadaan.
“Hari ni sekolah tak ada masalah. Setakat hari nilah, setakat pukul berapa saya terima,” katanya.
Semalam, 130 murid dan guru di beberapa sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas serta muntah pada hari pertama sesi persekolahan selepas semua sekolah di kawasan itu ditutup sejak 25 Jun hingga Khamis lalu berikutan pencemaran gas yang berlaku.
Sehingga kini kerajaan belum mengenal pasti punca kejadian kerana ia berbeza dengan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim Mac lepas.