
Kemudahan tangga bergerak atau “eskalator” di bangunan bertingkat, terutamanya di pusat beli-belah, banyak membantu pergerakan orang ramai ke lokasi yang dituju.
Namun di sebalik kemudahan ini, ramai yang tidak mengetahui bahawa eskalator juga mengundang bahaya yang boleh membawa maut jika tidak digunakan dengan betul.
Insiden kemalangan melibatkan tangga bergerak kerap didengari, namun seringkali dipandang ringan.
Jika diimbas beberapa kejadian yang dilaporkan berlaku di Malaysia, bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.
Salah satu kejadian berlaku di Georgetown pada 2015 dimana tangan kanak-kanak hancur akibat tersepit di tepi tangga eskalator.
Begitu juga seorang wanita Cina maut pada tahun yang sama akibat lantai eskalator yang dinaikinya runtuh.
Oleh itu, ketahui 8 langkah keselamatan yang boleh dipraktikkan sama ada kepada diri sendiri mahupun anak-anak kecil.

1. Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka duduk, bermain atau bersandar pada selusur tangga bergerak.
2. Sentiasa kekalkan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tangga yang sedang bergerak. Elakkan berdiri terlalu dekat dengan bahagian tepi eskalator.
3. Setiap kali melangkah, perhatikan pakaian yang bertali atau labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.
4. Pandang ke hadapan dan pegang kuat pemegang tepi eskalator. Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakkannya yang laju boleh mengejutkan mereka.
5. Dukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada menyuruh mereka menaiki sendiri eskalator.
6. Gunakan lif sekiranya membawa kereta sorong bayi, kerusi roda, skuter elektrik, bagasi dan lain-lain kerana kemalangan boleh berlaku sekiranya menggunakan eskalator.
7. Semasa melangkah meninggalkan eskalator, jangan teragak-agak lantaran kelewatan boleh menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.
8. Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang sedang bergegas berjalan di sebelah kanan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]