Kenyataan pengerusi Kojadi terhadap saya mengelirukan, kata Wee

Kenyataan pengerusi Kojadi terhadap saya mengelirukan, kata Wee

Terdahulu pengerusi Kojadi Ng Peng Hay mendakwa Wee menghalangnya daripada bertemu pegawai SPRM berhubung dana berkait 1MDB.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, apa-apa keputusan yang akan diambil perlu dirundingkan dengan kepimpinan parti kerana Kojadi ditubuhkan oleh MCA dan reputasi parti itu perlu dipelihara.
KUALA LUMPUR:
Presiden MCA Wee Ka Siong hari ini mendakwa kenyataan pengerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd Ng Peng Hay mengenai dirinya mengelirukan dan tidak menggambarkan “kebenaran” sepenuhnya.

Katanya, beliau tidak pernah menghalang Ng untuk berjumpa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan dana berkaitan 1MDB diberikan kepada koperasi tersebut.

Sebaliknya beliau hanya menasihati Ng supaya tidak bertindak terburu-buru, selain merujuk penasihat undang-undang terlebih dahulu.

“Bila saya halang dia? Saya hanya mahu beliau berunding dengan peguam dahulu kerana perkara itu perlu ditangani dengan cermat.

“Apa-apa yang dia kata sangat berbeza daripada perbincangan pada mesyuarat tergempar lembaga (pengarah) dan daripada apa-apa yang diberitahu kepada saya oleh lembaga pengarah.

“Dia menelefon saya pada 27 Jun sewaktu saya berada di Indonesia. Katanya beliau perlu segera berjumpa SPRM kerana beliau menerima panggilan daripada Latheefa Koya (ketua pesuruhjaya SPRM).

“Bila saya bertanyakannya sekali lagi, dia berkata beliau menerima panggilan daripada pegawai Latheefa. Bila saya tanya sekali lagi, dia berkata beliau menerima panggilan daripada pegawai SPRM yang dikenalinya,” kata Wee pada satu sidang media di Wisma MCA hari ini.

Wee berkata, kenyataan Ng “mengelirukan dan tampak ‘berbelit-belit’. Justeru beliau telah menghubungi anggota lembaga pengarah Kojadi yang lain bagi mendapatkan penjelasan mengenai keadaa sebenar yang berlaku.

Beliau berkata, maklumat yang diterimanya daripada lembaga pengarah ternyata berbeza.

Lalu beliau menghantar pesanan kepada Ng untuk memberi pandangannya berhubung perkara itu, tetapi tidak mendapat balasan daripadanya.

Terdahulu Ng mendakwa Wee menghalangnya daripada bertemu pegawai SPRM berhubung dana berkait 1MDB. Dakwaan yang dinafikan oleh MCA.

Ng sebelum itu berkata, koperasi tersebut menerima “geran kewangan” sebanyak RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk melaksanakan satu skim kredit mikro sosio ekonomi.

Ng berkata, beliau memanggil satu mesyuarat tergempar lembaga pengarah Kojadi pada Jumaat berikutan langkah SPRM minggu lepas menyenaraikan 41 individu dan entiti terbabit saman pelucutanhak sivil badan itu, selain pemaklumannya bahawa lebih banyak saman sama akan dibuat terhadap pihak yang menerima dana 1MDB.

Ng mencadangkan kepada lembaga pengarah supaya dana tersebut dikembalikan. Beliau mendakwa pihak lembaga mengarahkannya supaya bertemu SPRM untuk menjelaskan kedudukan koperasi tersebut dan meminta panduan serta nasihatnya.

Dalam satu kenyataan, lembaga pengarah Kojadi menolak dakwaan bahawa Wee menghalang Ng daripada berjumpa SPRM berkaitan dana 1MDB. Mereka juga menafikan mengarahkan Ng berjumpa SPRM.

Lembaga pengarah koperasi itu juga berkata dana RM15 juta tersebut “tidak ada kena-mengena” dengan akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

Wee berkata, langkah Ng mahu berjumpa SPRM secara “tidak rasmi” adalah “meragukan” kerana tidak ada surat rasmi yang dikeluarkan oleh agensi anti rasuah itu.

“Ng berkata, dia mahu membayar RM8 juta dahulu kerana beliau telah berbincang dengan SPRM untuk membayar separuh daripada jumlah terbabit.

“Beliau memberitahu saya, sekiranya dia tidak memberikan wang itu, maka beliau boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktivi Haram 2001. Apa ini?”

Wee berkata, beliau akan memanggil mesyuarat semua anggota lembaga pengarah, termasuk Ng, esok bagi menangani isu tersebut.

Katanya, keputusan hendaklah dibuat setelah berunding dengan kepimpinan parti kerana Kojadi ditubuhkan oleh MCA, justeru reputasi parti itu turut tercabar.

“Langkah paling baik ialah meminta penasihat undang-undang kita mengkaji implikasi perundangan isu ini terlebih ini terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.