Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

Dua pesakit perempuan dari Kampung Sungai Berua pernah mempunyai sejarah kontak dengan seorang pesakit Orang Asli disahkan positif campak sebelum ini.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu menerima kemasukan 17 pesakit Orang Asli dengan 12 daripadanya disahkan positif campak. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang semalam, kata Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata, 2 pesakit perempuan yang berasal dari Kampung Sungai Berua masing-masing berumur 18 dan 39 tahun serta pernah mempunyai sejarah kontak dengan seorang lagi pesakit Orang Asli yang disahkan positif campak sebelum ini.

“Kedua-dua mereka datang sendiri ke Hospital Hulu Terengganu setelah demam dan batuk.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Orang Asli yang sedang mendapat rawatan di hospital itu seramai 5 orang, iaitu 4 perempuan dan seorang lelaki. Kesemua mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu menerima kemasukan 17 pesakit Orang Asli dengan 12 daripadanya disahkan positif campak, 2 negatif dan 3 lagi masih menunggu keputusan makmal.

Seramai 12 pesakit dibenar pulang secara berperingkat mulai 20 Jun.

Terengganu mempunyai 4 perkampungan Orang Asli di 3 daerah, iaitu 2 di Hulu Terengganu, manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman.

Mohd berkata, setakat ini aktiviti pemantauan dan pengesanan kes secara aktif di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu dilakukan terhadap 493 orang dan akan terus dijalankan dari masa ke masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.