
Bagaimanapun kata beliau, terserah kepada Gabungan Parti Sarawak sekiranya mereka mahu membawa Sarawak keluar daripada Malaysia.
“Sukar dari segi undang-undang, tetapi ini pandangan saya. Ia tidak mudah,” katanya dengan menambah bahawa tidak ada undang-undang yang membolehkan sesebuah negeri menarik diri daripada persekutuan.
Menteri kerja raya itu memberi respons terhadap cadangan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) supaya GPS mengadakan satu referendum berhubung masa depan negeri itu dalam Malaysia.
Setiausaha Pemuda SUPP Milton Foo berkata semalam, gabungan pemerintah itu harus menetapkan tempoh masa bagi rundingan dengan Putrajaya berhubung statusnya sebagai rakan kongsi setaraf.
Katanya, sekiranya rundingan itu gagal, satu referendum hendaklah diadakan bagi mengumpulkan pandangan rakyat sama ada mereka mahu kekal dalam Malaysia atau meninggalkannya.
Berhubung kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh 3 tahun, Baru mengakui frasa yang digunakan Lim itu tidak wajar.
“Anda boleh sebut ‘defisit’ dari sudut perakaunan. Mungkin pilihan katanya salah,” kata beliau.
Pada satu majlis makan malam mengutip derma DAP Sarawak di Kuching minggu lepas, Lim berkata negeri itu mungkin bankrap dalam tempoh 3 tahun di bawah pentadbiran GPS.
Katanya, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam tempoh itu sekiranya belanjawan tahunan negeri itu ialah RM11 bilion.
Dakwaan Lim segera dijawab pemimpin GPS yang mempersoalkan pengetahuan perakauan Lim kerana anggaran belanjawan negeri itu pada tahun ini sebenarnya merupakan lebihan sebanyak RM122 juta.
Baru juga berkata, kerajaan persekutuan hanya akan tahu tentang tarikh siap projek Lebuhraya Pan Borneo selepas ia mengambil alihnya pada akhir September depan.
Katanya, kerajaan kini membenarkan kontraktor meneruskan projek berkenaan sehingga tamat tarikh notis pada akhir September.
Beliau berharap apa-apa pertikaian berkaitan pampasan, termasuk pemilikan tanah, yang masih tertangguh di mahkamah dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Baru-baru ini terdapat aduan berhubung tuntutan yang tidak dibayar. Pengadu mempunyai akses langsung kepada saya. Saya bersedia meneliti tuntutan mereka,” katanya selepas melancarkan Pan Borneo Dashboard di sini, hari ini.
Papan pemuka itu membolehkan agensi terlibat menyelia kemajuan projek berkenaan pada masa sebenar tanpa perlu hadir secara fizikal.