Saya beritahu menteri PH jangan bermegah-megah, kata Rafidah

Saya beritahu menteri PH jangan bermegah-megah, kata Rafidah

Rafidah menakrifkan perbuatan 'bermegah-megah' sebagai mempunyai plet kenderaan peribadi atau meminta pengawal keselamatan menabik hormat seseorang menteri.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz berkata, sebilangan menteri PH degil.
PETALING JAYA:
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz mendedahkan beliau menasihati anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) supaya menjaga tindak tanduk mereka dan tidak bersikap bermegah-megah.

Rafidah berkata, beliau juga mengingatkan menteri dan timbalan menteri supaya tidak menghimpunkan kroni di sekeliling mereka, tetapi mengakui sesetengahnya keras kepala.

Katanya, nasihat supaya tidak bermegah-megah merupakan perkara pertama yang diberitahunya kepada anggota kerajaan yang baru dilantik itu sewaktu beliau bertemu mereka pada Disember tahun lepas.

“Saya beritahu mereka tahniah kerana menjadi menteri, tetapi jangan bermegah-megah,” katanya selain menambah bahawa beliau membuat nasihat itu kerana percaya kemegahan kuasa telah masuk ke dalam hati sebilangan menteri.

Rafidah menakrifkan perbuatan “bermegah-megah” sebagai mempunyai plet kenderaan peribadi atau meminta pengawal keselamatan menabik hormat seseorang menteri.

“Perdana Menteri pun tidak ada nombor plet peribadi yang menyebut ‘perdana menteri’,” katanya.

Rafidah berkata demikian pada satu majlis bual bicara anjuran Gerak, sebuah pertubuhan akademik masyarakat sivil, dan Persatuan Patriot Kebangsaan.

Pada Disember lepas, beliau juga memberitahu menteri dan timbalan menteri supaya melayan pegawai awam sebagai sahabat.

Katanya, dengan cara itu, mereka (pegawai awam) akan membantu memberi panduan kepada anggota Kabinet.

“Jangan layan mereka seperti musuh. Dengan cara itu, mereka akan beritahu anda apakah yang perlu dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.