Perdagangan barter antara Sabah-Filipina diberi perlindungan tentera

Perdagangan barter antara Sabah-Filipina diberi perlindungan tentera

Wujud kebimbangan bahawa pembukaan semula perdagangan barter antara Sabah dengan selatan Filipina akan mendedahkan pedagang kepada risiko lanun dan penculikan.

Datuk Bandar Pulau Penyu Faizal Salam Jamalul (kanan) dengan eksekutif Worldwide Eco Group Kenneth Kong (kiri) dan Johnny Kunan selepas acara menandatangani perjanjian menjadikan pulau tersebut pintu masuk ke Wilayah Autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.
KOTA KINABALU:
Perdagangan barter antara Sabah dan selatan Filipina akan menjadi lebih selamat berikutan kerjasama daripada tentera dan tentera laut Filipina.

Datuk Bandar Pulau Penyu di Tawi Tawi, Faizal Salam Jamalul memberitahu pemberita hari ini bahawa satu pangkalan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan disiapkan bulan depan.

“Pangkalan ini akan dikendalikan kakitangan keselamatan, termasuk tentera dan tentera laut. Mereka akan memastikan keselamatan pedagang yang keluar masuk sempadan kami, malah akan mengiringi ‘kumpit’ (kapal kayu) milik pedagang,” katanya.

Wujud kebimbangan, terutama di Sabah, bahawa pembukaan semula perdagangan barter antara negeri itu dengan selatan Filipina akan mendedahkan pedagang dari Sabah kepada risiko lanun dan penculikan.

Insiden penculikan banyak memberi kesan ke atas industri pelancongan Sabah yang bernilai RM8 bilion setahun, sementara perdagangan barter dianggarkan bernilai RM350 juta.

Perdagangan barter menggunakan kapal yang bergerak perlahan dipanggil “kumpit” untuk membawa barangan, justeru menjadi sasaran mudah lanun dan penculik.

Bagaimanapun Faizal percaya, peningkatan kawalan keselamatan di wilayahnya boleh meminimumkan risiko penculikan, terutamanya kerana Tawi Tawi sangat memerlukan barang keperluan yang diperolehi melalui perdagangan barter dengan Sabah.

“Saya akan pastikan tentera dan unit keselamatan lain menjalankan pemantauan 24/7 di perairan kami, terutama laluan antara Pulau Penyu dan pulau berdekatan.

“Itulah sebabnya pangkalan CIQ ini diwujudkan,” katanya selepas menandatangani perjanjian dengan Worlwide Eco Group Malaysia untuk mempromosi Pulau Penyu sebagai pintu masuk ke Wilayah Autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.

Ketua pegawai operasi Worldwide Eco Group Johnny Kunan berkata, syarikat tersebut akan bekerja rapat dengan syarikat tempatan bagi menyediakan bekalan yang mencukupi untuk perdagangan barter dengan selatan Filipina.

“Kami boleh bekal produk tempatan seperti minyak sawit secara langsung ke Filipina kerana kami mempunyai permit eksport untuk menghantar barangan ke luar negara secara langsung.

“Kami kini menumpukan kepada isi padu barangan yang boleh diperdagangkan seperti beras, minyak masak dan simen. Permintaan simen tinggi kerana Tawi Tawi pesat membangun dan kami mahu memanfaatkan peluang ini sebaiknya,” kata beliau.

Beras akan diimport secara langsung dari negara pengeluar utamanya seperti Vietnam dan Thailand.

Syarikat itu juga bercadang mengeksport gas memasak ke Filipina, tetapi dijangka mengambil masa.

Kegiatan penyeludupan gas memasak ke negara jiran merupakan perniagaan yang menguntungkan dan menjadi punca masalah di Sabah, namun tidak banyak tindakan diambil bagi menyekat kegiatan haram itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.