Rayuan kes ‘bin Abdullah’ diteruskan selepas gagal capai persetujuan

Rayuan kes ‘bin Abdullah’ diteruskan selepas gagal capai persetujuan

Peguam yang mewakili sepasang suami isteri beragama Islam dan anak mereka berkata, Jabatan Peguam Negara mahu meneruskan rayuan itu selepas gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah.

Pendengaran semua rayuan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapa akan diadakan di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos ini.
PUTRAJAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 2 pihak lagi gagal mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung kes seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan “Abdullah” dalam sijil kelahiran.

Peguam, Nizam Bashir yang mewakili pasangan suami isteri Islam dan anak terbabit, berkata beliau dimaklumkan peguam kanan persekutuan, Mazlifah Ayob yang mewakili pihak kerajaan, penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.

Justeru, katanya, Jabatan Peguam Negara mahu meneruskan kes rayuan itu.

Perkara itu dibangkitkan dalam pengurusan kes menerusi sistem E-semakan di depan Timbalan Pendaftar, Norhafizah Zainal Abidin, hari ini.

Berikutan perkembangan itu, 7 panel hakim Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran semua rayuan JPN terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya pada 16 Ogos ini.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada sepasang suami isteri dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak ketua pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Hakim, Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan penghakiman itu berkata ketua pengarah JPN tidak terikat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan nama “dibin atau dibinti” kepada anak luar nikah.

Pada 8 September 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.