Kojadi tuduh Wee halang pertemuan dengan SPRM tentang geran berkaitan 1MDB

Kojadi tuduh Wee halang pertemuan dengan SPRM tentang geran berkaitan 1MDB

Pengerusi koperasi milik MCA itu meletakkan keahlian sebagai tanda bantahan.

PETALING JAYA:
Sebuah koperasi milik MCA menuduh presiden parti itu, Wee Ka Siong menghalang pengerusinya bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana berkaitan 1MDB.

Pengerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi), Ng Peng Hay meletakkan keahlian MCA sebagai tanda bantahan.

Ng dalam kenyataan hari ini berkata Kojadi menerima “geran kewangan” RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk melaksanakan skim mikro-kredit sosio-ekonomi “Skim Mikro Kredit Kojadi Bagi Belia”.

Beliau berkata geran itu sudah dibayar sepenuhnya kepada 1,264 perusahaan kecil bawah skim itu, sementara RM1.72 juta dihapuskan sebagai “hutang lapuk”, RM1.03 juta dibayar sebagai cukai, dan RM8.06 juta masih disimpan dalam bentuk tunai.

“Selepas SPRM mengumumkan senarai pelucuthakan sivil terhadap 41 nama minggu lepas dan kenyataan-kenyataan di media bahawa akan ada lagi pelucuthakan sivil terhadap mereka yang menerima wang 1MDB, saya memanggil satu mesyuarat lembaga tergempar semalam.

“Memandangkan geran kewangan RM15 juta diterima daripada Yayasan 1MDB, saya membentangkan cadangan kepada mesyarat lembaga untuk memulangkan geran kewangan daripada Yayasan 1MDB tersebut.

“Saya berniat untuk melindungi kepentingan Kojadi, 60,000 ahli dan kakitangannya kerana proses pelucuthakan terhadap Kojadi boleh memberi kesan buruk pada operasi Kojadi dan memberi kesan pada 60,000 ahli dan mata pencarian lebih 50 kakitangan,” katanya.

Beliau berkata lembaga mengarahkan beliau bertemu SPRM hari ini bagi menerangkan kedudukan koperasi dan meminta panduan dan nasihatnya.

“Bagaimanapun, sebelum sempat saya membuat temujanji dengan SPRM, presiden MCA mengarahkan semua pengarah Kojadi melalui media sosial supaya menghentikan pertemuan dengan SPRM dan bertemu pimpinan parti pada 1 atau 2 Julai.”

Ng membantah apa yang didakwanya “campurtangan” Wee dalam pengurusan harian Kojadi.

“Saya akan memanggil satu lagi mesyuarat lembaga tergempar untuk membentangkan semula cadangan saya iaitu memulangkan geran kewangan daripada Yayasan 1MDB,” katanya.

Wee ketika dihubungi berkata dia akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Kojadi ditubuhkan MCA pada 1981 bagi menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.