
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pihaknya mendapati semua 34 buah tong plastik bersaiz 200 liter itu sebaliknya digunakan untuk membuat pelampung untuk rakit dan sangkar ikan.
“Pasukan penyiasat JAS menjalankan siasatan dan pemilik tong berkenaan juga dipanggil bersama pihak polis, hasil siasatan mendapati terdapat 34 buah tong dan semua tong itu kosong dan tidak mempunyai sebarang sisa kimia.
“Tong berkenaan dibeli daripada sebuah syarikat dalam keadaan bersih dan tiada sebarang bau dikesan di sekitar kawasan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya, pemilik tong berkenaan yang merupakan warga tempatan, juga mempunyai rekod jual beli tong-tong berkenaan.
Beliau mengulas laporan berita mengenai penemuan kira-kira 20 tong didakwa mengandungi sisa kimia di Kampung Desa Melayu semalam.
Mengenai cecair hijau yang ditemui di longkang Jalan Keluli 7 dekat Pasir Gudang, beliau berkata hasil siasatan mendapati cecair berkenaan merupakan lumut rumpai yang bercampur air dan sabun.
Menurutnya, cecair hijau itu terhasil daripada aktiviti mencuci sebuah tangki air yang kotor di dalam premis berkenaan.
“Tiada sebarang punca pencemaran bahan atau cecair kimia yang didapati dari bacaan air yang keluar dari longkang premis itu.
“Walau bagaimanapun, 3 persampelan air diambil dari punca, outlet longkang kilang yang mengalirkan air ke sungai serta di sungai itu, dan seterusnya akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa,” katanya.