Muhyiddin tak tahu kenapa kematian Beng Hock disiasat bawah penahanan salah

Muhyiddin tak tahu kenapa kematian Beng Hock disiasat bawah penahanan salah

Menteri dalam negeri berkata, Jabatan Peguam Negara yang menentukan siasatan semula ke atas kematian Teoh Beng Hock dilakukan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Muhyiddin Yassin berkata, hampir semua proses undang-undang sudah dilalui dan pampasan turut diberikan kepada keluarga Teoh Beng Hock.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin tidak tahu sebab Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan semula siasatan ke atas kematian bekas setiausaha politik, Teoh Beng Hock kepada penahanan salah di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Katanya, kerajaan sudah menggunakan semua proses undang-undang untuk menyiasat kematian Teoh, termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan membayar pampasan kepada keluarganya.

“Kita sudah diberikan taklimat panjang lebar (mengenai isu kematian Teoh), sudah selesai bertahun lamanya. Maklumat disampaikan dan hampir semua proses undang-undang dilalui.

“Sudah ada pembentukan suruhanjaya, bayar pampasan. Jika di sudut itu, sudah tidak ada isu lagi. Keluarga tidak puas hati walaupun sudah menerima bayaran pampasan, mereka tuntut lagi.

“Saya fikir perkara ini terletak di bawah bidang kuasa peguam negara. Saya tidak pakar dari segi undang-undang. Saya serah kepada peguam negara untuk buat keputusan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Semalam, Pengerusi Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Ng Geok Chee menggesa Kabinet dan peguam negara menjelaskan kenapa polis menyiasat kematian Teoh di bawah penahanan salah dan bukannya homisid salah.

Katanya, tindakan itu bercanggah penghakiman Mahkamah Rayuan pada September 2014 yang memutuskan “seorang atau beberapa orang menyebabkan kematian Teoh, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia”.

Hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor dilaporkan berkata, polis mengikut arahan peguam negara menyiasat semula kematian Teoh di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan pengurungan seseorang secara salah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, manakala Seksyen 302 bagi kesalahan membunuh pula membawa hukuman gantung sampai mati.

Pada 16 Julai 2009, Teoh yang juga setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat SPRM Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan Teoh didorong membunuh diri oleh cara soal siasat agresif pegawai SPRM. Ia turut menyalahkan 3 pegawai atas cara agresif mereka yang dikatakan melanggar prosedur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.