
Beliau berkata sisa berbahaya yang terkumpul telahpun dibawa ke Pusat Pelupusan Kualiti Alam untuk dihapuskan.
Zuraida berkata demikian dalam satu kenyataan bagi memperbetulkan kenyataan awalnya kepada media semalam yang menyebut kes pelajar sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik.
Menurut Zuraida, beliau memperbetulkan beberapa fakta terdahulu berikutan maklumat terkini yang baru diterima.
Zuraida dalam kenyataan terdahulu dilaporkan berkata siasatan awal bomba mendapati bahan kimia daripada sisa toksik yang diserahkan kepada kontraktor pembersihan masih terbiar dan tidak dihapuskan sepenuhnya.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin sebelum ini dilaporkan mengesahkan Sungai Kim Kim bersih dan selamat setelah beberapa hari melalui kerja pembersihan.
Proses pembersihan sungai di kawasan terjejas sepanjang 1.5km yang bermula 13 Mac itu, berakhir sepenuhnya pada 17 Mac, melibatkan pelbagai pihak termasuk 3 kontraktor yang dilantik serta pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.