Tak salah polis berniaga melalui koperasi, kata Muhyiddin

Tak salah polis berniaga melalui koperasi, kata Muhyiddin

C4 mendedahkan KOP Mantap milik koperasi polis memiliki saham dalam 23 syarikat.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada majlis sambutan Hari Raya PPBM Pulau Pinang di Sungai Nibong malam tadi. Di kanan beliau ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan setiausaha agung PPBM Marzuki Yahya di sebelah kiri.
GEORGE TOWN:
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata tiada salahnya polis terlibat dalam perniagaan melalui koperasi mereka kerana ia sah dari segi undang-undang.

Ini berikutan kebimbangan yang disuarakan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) semalam bahawa penglibatan polis dalam perniagaan di luar tugas kepolisan adalah satu konflik kepentingan yang jelas dan boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Ditemui pada majlis sambutan Hari Raya PPBM Pulau Pinang malam tadi, Muhyiddin berkata, koperasi dikawal selia dan perlu akur kepada undang-undang persekutuan. Justeru, apa-apa kesalahan boleh dikesan.

Katanya, tujuan utama koperasi ditubuhkan ialah bagi menjana keuntungan untuk ahli dan memastikan kebajikan mereka dijaga.

Beliau berkata, koperasi tidak hanya melibatkan polis, tetapi juga agensi lain seperti tentera dan kakitangan kerajaan dengan jutaan ahli.

“Saya tidak fikir ia bertentangan (dengan mana-mana kepentingan). Jika ada bukti salah laku atau unsur rasuah, malah jenayah, maka pihak berkenaan harus membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jangan buat tuduhan rambang ke atas koperasi atau mana-mana pihak kerana saya fikir peranannya ialah untuk membantu anggota mereka. Saya fikir tidak adil kita (membuat spekulasi).

Semalam C4 mendedahkan bahawa KOP Mantap, sebuah syarikat tersenarai, memiliki saham dalam 23 syarikat. Ia mempunyai pegangan majoriti dalam 9 syarikat tersebut.

KOP Mantap dimiliki oleh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, badan koperasi milik pasukan polis.

C4 berkata, koperasi polis itu sebenarnya merupakan sebuah “konglomerat” yang terlibat dalam pelbagai perniagaan seperti hospitaliti, pelancongan, pembinaan dan sebagainya.

Ia juga mendedahkan bahawa bekas pegawai tertinggi polis terlibat dalam syarikat pengeluaran peluru melalui anak syarikat Kementerian Kewangan. Salah satu syarikat terbabit kini berdepan masalah kerugian.

C4 berharap Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akan meneliti perkara tersebut sebagai sebahagian daripada pembaharuan yang diperlukan pasukan itu.

Baru-baru ini Hamid memaklumkan terdapat 67 persatuan yang didaftarkan di bawah polis walaupun ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pasukan itu.

Wujud dakwaan bahawa pertubuhan sedemikian menjual kad perwakilan polis kepada individu persendirian yang kemudiannya disalahguna, antara lain untuk mengutip derma dan mengelak daripada disaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.