
Beliau yang kini memangku jawatan yang ditinggalkan bekas pengerusi, Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini Umno Selangor tidak mendapat apa-apa notis saman daripada SPRM.
“Kita tak tahu apakah tuntutan yang nak dikenakan. Kita tak tahu.
“Kita kena siasat yang mana satu. Hari itu dia (SPRM) sudah bekukan harta parti, lepas bekukan apa lagi nak tuntut?” katanya kepada FMT.
Nadzari merujuk kepada harta Umno yang dibekukan oleh agensi anti rasuah itu kira-kira setahun lalu, seawal 28 Jun 2018, dalam siasatan pihak berkuasa ke atas skandal 1MDB.
Beliau berkata demikian selepas SPRM memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan kembali lebih RM265 juta wang yang dikatakan milik 1MDB, yang dipindahkan ke akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak dan setelah itu diberikan kepada penerima terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, sejumlah RM212 juta diberikan kepada beberapa bahagian dan cawangan Umno.

Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 56 Akta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
Dalam pada itu, Mat Nadzari berkata, Umno Selangor akan meneliti langkah terbaru SPRM itu.
“Kita akan ‘lawan’ dan pertahankan hak kita,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, SPRM perlu membuktikan bahawa wang yang diterima oleh parti itu adalah benar-benar daripada 1MDB.
Katanya, sekiranya ia benar wang 1MDB, maka ia memang wajar dipulangkan.
“Wang yang diterima oleh Umno Sabah digunakan untuk tujuan aktiviti parti dalam pilihan raya lalu. Jadi sama ada ia satu kesalahan atau tidak, kita pun penerima tidak ada tanya, dari mana duit itu datang.
“Jadi kita serah pada SPRM untuk buktikan. Sekarang duit parti ditahan oleh SPRM sebab ia dah dibekukan,” katanya.
Bung berkata, beliau sedia kerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan itu.
“Umno Sabah juga ingin pertahankan bahawa ini wang parti,” katanya.
Berdasarkan senarai penerima wang daripada Najib berjumlah RM265 juta yang dikeluarkan oleh SPRM, Umno Selangor dan Sabah masing-masing menerima lebih RM2.7 dan RM1.2 juta.