
Timbalan presiden Umno itu menjelaskan pihak berkuasa perlu memfailkan permohonan sita terhadap harta-harta yang sudah setahun dibekukan, dan mahkamah akan menentukan kewajaran permohonan itu.
“Umno mesti mengemukakan hujah kenapa duit tersebut perlu dipulangkan kepada kita. Kami akan lakukan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan tahuan PAS ke-65 hari ini.
Beliau merujuk kepada harta-harta Umno yang dibekukan dalam setahun lalu, seawal 28 Jun 2018, dalam siasatan pihak berkuasa ke atas skandal 1MDB.
Mohamad berkata Umno sudah menulis surat kepada SPRM sebab-sebab kenapa harta berkenaan perlu dipulangkan.
“Surat itu akan dikemukakan sebagai hujah dalam mahkamah apabila tiba setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas SPRM memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan kembali RM270 juta wang yang dikatakan daripada 1MDB, yang dipindahkan ke akaun bank Najib Razak dan kemudian ke penerima berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya berkata sejumlah RM212 juta diberikan kepada beberapa bahagian dan cawangan Umno.
Permohonan itu difailkan bawah Seksyen 56 Akta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.