
Ia sekaligus menyaksikan pertandingan merebut jawatan tersebut dimenangi tanpa sebarang pertandingan.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Mohd Fuad Mohd Salleh selepas memaklumkan seorang daripada 4 calon bagi mengisi 3 jawatan itu tidak mengesahkan pencalonannya.
“Kami menerima 4 pencalonan, dan seorang tidak mengesahkan pencalonan untuk bertanding, jadi tiada pertandingan bagi jawatan itu.
“Senarai calon dimuktamad pada 12 Jun lalu, dia (Iskandar) tolak pencalonan, kita anggap dia tak berminat,” katanya ketika taklimat pemilihan Muktamar di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.
Iskandar sebelum ini diumumkan layak bertanding jawatan itu bersama 3 calon lain iaitu 2 penyandang jawatan tersebut, Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah.
Keputusan Iskandar itu menyaksikan pencabar baru Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganu menang tanpa bertanding selain, Mohd Amar dan Idris kekal jawatan berkenaan bagi sesi 2019-2021.
Iskandar ketika ditemui media berkata keputusan beliau menolak pencalonan naib presiden kerana ingin memberi laluan kepada calon lain yang berprofail tinggi.
“Dua penggal saya pegang, bagi lah peluang kepada orang lain. Naib presiden ini dia kena berprofail tinggi, sebagai menteri besar Terengganu, saya rasa dia (Samsuri) calon yang berprofail tinggi,” katanya.

Iskandar turut memaklumkan beliau mengesahkan pencalonan bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.
“Saya dicalonkan sebagai naib presiden dan sebagai AJK PAS Pusat dan saya pilih bertanding sebagai AJK PAS pusat,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man diumumkan menang tanpa bertanding jawatan masing-masing.
Tumpuan pemilihan kali ini terarah kepada perebutan jawatan AJK PAS Pusat di mana keputusan penuh dijangka akan diumumkan Ahad ini.
Jawatan naib presiden tugas besar
Samsuri ketika ditemui pemberita, berkata tugas sebagai naib presiden amat berat dan beliau memerlukan sokongan semua pihak.
“Saya akan terus belajar daripada ‘senior-senior’ saya dalam parti. Saya perlu dibantu dan dibimbing untuk sama-sama menjalankan amanah ini.
“Fokus kita tentunya untuk melakukan pengukuhan sebagaimana dalam ucapan dasar presiden yang memperincikan banyak perkara dalam pelbagai sudut, khususnya tentang hala tuju parti untuk berdepan PRU15 dan hasrat kerjasama PAS dengan parti-parti lain,” katanya merujuk pilihan raya umum ke-15.
Samsuri berkata, Iskandar menjalankan tugas dengan baik ketika berkhidmat selama 2 penggal sebagai naib presiden.
“Beliau juga melakukan banyak penambahbaikan terutama dari segi Unit Bencana dan penambahan ahli parti. Tentunya kerja cemerlang ini perlu diteruskan.
“Saya juga yakin beliau akan terus memberi sumbangan kepada parti walaupun tidak lagi memegang jawatan naib presiden,” katanya.