Kerjasama Umno-PAS dijangka tumpuan muktamar PAS di Kuantan

Kerjasama Umno-PAS dijangka tumpuan muktamar PAS di Kuantan

Muktamar PAS hari ini mungkin panas sekiranya bekas perdana menteri Najib Razak yang kini berada di Pahang turut hadir.

Muktamar PAS ke-65 bermula hari ini hingga Ahad di stadium tertutup Sukpa, Kuantan.
PETALING JAYA:
Empat tahun selepas PAS mengadakan muktamarnya yang paling panas sepanjang 7 dekad kewujudan parti itu, persidangan tahunannya susulan itu boleh dikatakan berjalan tanpa banyak peristiwa menarik berlaku.

Bagaimanapun berpandukan cakap-cakap yang tersebar menjelang muktamar ke-65 PAS hari ini yang akan dirasmikan oleh presiden parti, Abdul Hadi Awang, keadaan berkemungkinan bertukar panas, lebih-lebih lagi sekiranya bekas perdana menteri, Najib Razak, yang dijadualkan berada di negeri kelahirannya, Pahang, di mana muktamar PAS diadakan, turut hadir.

Muktamar PAS tahun lalu dihadiri presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Sejak itu, hubungan antara 2 parti politik terbesar orang Melayu itu bertambah rapat, malah berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Penganalisis Wong Chin Huat bersetuju bahawa kerjasama Umno-PAS akan mendominasi muktamar kali ini.

Sayap Ulama parti itu yang berpengaruh dan sayap Pemudanya yang lantang, memberikan sokongan masing-masing terhadap kerjasama itu, sementara protes daripada perwakilan dijangka tidak akan berlaku.

Wong berkata, kerjasama itu tidak boleh dipandang ringan.

“Jika Umno dan PAS boleh bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, dengan andaian tidak berlakunya perubahan trend pengundian, mereka boleh memenangi 30 kerusi tambahan di Semenanjung Malaysia,” kata Wong yang berkhidmat di Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah.

Dengan kedudukan yang kuat di Semenanjung, Umno dan PAS boleh menarik parti di Malaysia Timur untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Wong berkata, muktamar hari ini akan membuka jalan kepada pilihan raya akan datang dan beliau menjangka, isu kaum dan agama akan dibangkitkan.

Bagaimanapun retorik sedemikian boleh melemahkan harapan ketua Pemuda PAS yang baru, Khairil Nizam Khirudin, untuk memperkuat hubungan dengan parti pembangkang bukan Melayu seperti MIC dan MCA.

Pada muktamar sayap Pemuda parti itu 2 hari lepas, Khairil berkata, hubungan dengan MIC adalah baik, walaupun ia lebih mencabar dengan MCA.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, muktamar kali ini membuka peluang kepada PAS menzahirkan keterbukaan parti itu, terutamanya dalam konteks orang bukan Islam.

“Pemimpin PAS perlu mengetengahkan kemampuan parti itu untuk mentadbir negara dengan mengemukakan cetak birunya kepada muktamar.

“Lebih penting ialah meyakinkan orang bukan Islam bahawa mereka akan mendapat tempat yang baik dalam perancangan parti itu,” katanya.

Dengan pelbagai masalah dalaman kini membebankan Pakatan Harapan (PH), pemimpin PAS dijangka akan menggesa ahli mereka supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang mungkin diadakan.

“Kritikan terhadap PH, terutamanya ‘kegagalan’ gabungan kerajaan itu memelihara kepentingan orang Melayu Islam akan bertambah,” katanya, dengan menambah bahawa pemimpin PAS akan mendesak PH bertindak lebih serius dalam mengatasi masalah sosio ekonomi yang wujud.

Seorang pengkritik PAS yang lantang, Dr Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, muktamar kali ini merupakan peluang PAS memeriksa diri tentang apakah yang salah mengenai negara ini berikutan pemerintahan Umno yang lama.

Beliau juga bertanya sama ada pemimpin PAS tidak melihat perkara itu.

Katanya, kini adalah masanya bagi PAS meneroka haluan baru dalam perjuangannya.

“Mereka tidak harus membiarkan rasa cemburu terhadap pemimpin yang pernah mereka singkirkan, yang kini menjadi menteri dalam kerajaan baru, menguasai diri.

“Dendam politik sedemikian tidak ada tempat, terutama sekali pada waktu mereka tidak pun mempunyai agenda ekonomi yang jelas bagaimana untuk mentadbir negara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.