Elak kesesakan, tempahan makanan sampai sepantas 12 minit

Elak kesesakan, tempahan makanan sampai sepantas 12 minit

Kebiasaannya orang ramai akan membuat tempahan makanan menggunakan aplikasi mudah alih Food Panda atau Grab Food, namun penduduk Cyberjaya ada pilihan lebih menarik dengan tempah makanan menggunakan drone.

Drone penghantaran makanan adalah teknologi canggih yang digunakan buat pertama kali di Malaysia, bertujuan mengurangkan servis manusia sendiri dan lebih bergantung pada sistem yang dicipta.

Pasti anda tidak dapat membayangkan makanan yang anda tempah akan diterbangkan khas untuk anda menggunakan drone.

Dan sepantas kilat hanya dengan mengambil masa 12 minit makanan akan tiba di hadapan pintu sama ada pejabat atau rumah anda.

Selepas ini mungkin tidak ramai lagi mengeluh lambat terima makanan yang dipesan ekoran kesesakan lalulintas di jalan raya dengan adanya sistem penghantaran menggunakan drone.

Namun sebelum membuat tempahan, anda perlu tahu caranya sehingga makanan tersebut sampai dengan selamat kepada anda.

Drone ini akan terbang pada ketinggian 200 kaki sahaja dan tidak akan mengganggu laluan penerbangan.
Dengan kekuatan bateri 24,000 mAh, drone ini mampu terbang sehingga 6km jauhnya untuk menghantar makanan.

“Pada peringkat permulaan ini, anda boleh membuat tempahan dengan menghubungi nombor kafe yang kami sediakan dalam 1 applikasi mudah alih, kemudian mereka akan menyediakan makanan dan meletakkan di dalam bekas drone yang disediakan.

“Jangan risau tentang kebersihan, kita akan menggunakan bekas yang kedap udara dan tertutup, ini bermakna makanan anda tidak akan tercemar dari udara luar yang tidak baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Average Drone Sdn Bhd, Hamdee Hamdan kepada FMT.

Setakat ini terdapat 4 buah drone penghantaran makanan yang berlainan saiz, dan jumlah tersebut akan ditambah selepas 3 bulan tempoh percubaan.

Menjelaskan secara terperinci akan perkara itu, Hamdee berkata terdapat 4 jenis drone setakat ini yang mempunyai saiz berbeza iaitu yang kecil mampu membawa muatan 800 gram, manakala bagi saiz sederhana dan besar boleh membawa muatan sehingga 5kg.

Dengan muatan seberat itu, drone boleh menghantar makanan seperti nasi lemak, burger, buah, kuih, mee, bihun dan sandwich.

Apabila segalanya sudah siap, Hamdee berkata drone tersebut akan terbang hanya dengan ketinggian 200 kaki dan melalui kawasan hutan sahaja supaya tidak mengganggu laluan penerbangan.

“Setiap penghantaran akan mengambil masa 12 minit untuk jarak 2 kilometer, dan drone tersebut boleh terbang sehingga jarak 6 kilometer.

“Ini bermakna jika jarak penghantaran adalah 2 kilometer, ia mengambil masa selama 24 minit untuk pergi dan balik pada setiap penghantaran,” katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Everage Drone Sdn Bhd, Hamdee Hamdan berkata idea ini tercetus dengan mengambil kira konsep yang digunapakai Australia yang menghantar makanan menggunakan drone.

Namun Hamdee berkata dalam masa 3 bulan pertama ini, setiap drone itu akan terbang untuk 10 kali penghantaran dalam sehari.

Drone yang bersaiz 950mm ini menggunakan 2 bateri berkuasa 12,000mah atau 6s bateri bagi setiap kali penghantaran.

“Setiap kali hantar, akan ada satu ‘pick up point’ yang akan diberitahu kepada pelanggan untuk mengambil makanan mereka.

“Ada satu tali yang akan menurunkan makanan itu ke bawah dan pengguna boleh mengambilnya sebaik sahaja berada di hadapan drone itu.

“Cara untuk kita kenalpasti pengguna juga adalah mereka memberitahu pada sistem yang dia sudah berada di ‘pick up point’ menggunakan telefon bimbitnya, baru kita akan serahkan makanan, ia adalah bagi mengelakkan kecurian.

“Kemudian drone itu akan pulang pada lokasi yang ditetapkan,” katanya lagi.

Antara alat yang dipasang pada rangka drone sendiri, membolehkan ia terbang dan menghantar makanan kepada pengguna.

Tambah beliau, menghantar makanan menggunakan drone adalah cetusan idea Hamdee sendiri selaku Ketua Pegawai Eksekutif Average Drone Sdn Bhd (Average Drone), dimana beliau menjadikan Australia sebagai contoh menghantar makanan menggunakan drone.

“Pada asalnya idea drone ini adalah untuk menghantar ubat dan beberapa bungkusan kepada pengguna, namun ia tidak relevan di Cyberjaya, jadi saya menukarnya dengan menghantar makanan menggunakan drone,” jelas Hamdee lagi.

Untuk 3 bulan percubaan tiada caj penghantaran yang akan dikenakan. tempahan ini juga hanya dibuka kepada syarikat Futurise yang beroperasi di Cyberjaya.

Dan jika perkhidmatan ini berjaya dalam tempoh 3 bulan pertama, tempahan akan dibuka kepada orang ramai sekitar Cyberjaya.

Average Drone ialah sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri dron sejak 2014, merancang mewujudkan khidmat berkenaan dalam masa terdekat dengan kerjasama Futurise, sebuah anak syarikat Cyberview di bawah Kementerian Kewangan.

Kisah ini menjadi viral di ekspo MyDroneX dan rata-rata netizen tidak sabar menunggu penghantaran makanan menggunakan drone dibuat kerana ia adalah pertama kali akan dilakukan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.