Wanita PKR lapor polis gesa cari siapa sebar video seks

Wanita PKR lapor polis gesa cari siapa sebar video seks

Timbalan Ketua Daroyah Alwi mahu penyebaran video itu dihentikan kerana ia mengganggu tugas membangunkan negara.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi (tengah, bertudung biru) bersama pimpinan wanita PKR Selangor membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Wanita PKR hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat siapakah yang menyebarkan video seks sejenis yang cuba dikaitkan dengan Timbalan Presiden Azmin Ali.

Timbalan Ketua Wanita Dr Daroyah Alwi berkata penyebaran video itu perlu dihentikan kerana ia mengganggu tugas mereka membangunan negara.

“Kita mahu penyebaran video fitnah ini dihentikan dan kita juga mahu polis meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mencari siapakah dalang menyebarkan video ini,” katanya kepada FMT di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini.

Daroyah, yang tampil bersama pimpinan Wanita PKR Selangor, juga meminta partinya untuk tidak menolak mentah-mentah persoalan yang ditimbulkan Azmin mengenai penyebaran video seks itu..

Azmin sebelum ini tertanya bagaimana ia boleh tersebar kepada ketua-ketua bahagian PKR seluruh negara.

“Kita memang persoalkan bagaimana semua nama-nama ketua cabang ada dalam kumpulan Whatsapp yang dibuat untuk menyebarkan video seks berkenaan. Ada kebenarannya dan parti perlu jawab,” kata Daroyah.

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution sebelum ini nafi ibu pejabat PKR terbabit dalam penyebaran itu.

Sementara itu, Daroyah juga meminta ahli-ahli partinya supaya bersikap adil, mengatakan tindakan juga harus diambil terhadap Haziq Aziz sekiranya Azmin diminta melepaskan jawatan.

“Janganlah seperti Otai Reformis yang meminta tindakan diambil terhadap timbalan presiden tetapi hanya sebelah pihak sahaja,” katanya.

Daroyah merujuk kepada sebuah kumpulan pro-Anwar yang menyarankan Putrajaya mencutikan Azmin daripada tugasan rasmi sementara siasatan dilakukan.

Haziq, seorang ketua Pemuda PKR Santubong dan pegawai kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin, menggemparkan negara apabila mendakwa Azmin pasangannya dalam satu video seks sejenis yang tersebar di media sosial.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.