Menteri jamin tiada kenaikan harga simen

Menteri jamin tiada kenaikan harga simen

Saifuddin Nasution berkata, simen ialah barang kawalan harga dan kenaikan harga tanpa kebenaran kerajaan adalah salah di sisi undang-undang.

Saifuddin Nasution berkata, kenaikan harga simen akan menjejaskan rancangan kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik.
PUTRAJAYA:
Kerajaan hari ini memberi jaminan harga simen tidak akan dinaikkan, selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution menemui pengeluar simen tempatan.

“Saya jumpa mereka sejak 2 hari lalu. Kami dengar pandangan mereka dan memberi pandangan kami,” katanya selepas melancarkan Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan diperakui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) di kementeriannya di sini.

Beliau berkata, kerajaan memberitahu 21 pengeluar simen mengenai rancangan membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara dan simen ialah bahan utama dalam sektor pembinaan.

“Jika mereka teruskan (dengan kenaikan harga itu), ia akan menjejaskan projek rumah mampu milik.”

Terdahulu, media melaporkan beberapa kontraktor dan pengeluar produk simen mendedahkan mereka menerima surat daripada sebuah syarikat simen tempatan mengenai kenaikan harga bahan itu. Ada yang melaporkan kenaikan harga itu dijangka mencecah 40%.

Saifuddin berkata, simen ialah barang kawalan harga dan kenaikan harga tanpa kebenaran kerajaan adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau memaklumkan pengeluar untuk mendapatkan kebenaran kementeriannya bagi kenaikan harga simen atau memberitahu kementeriannya sebelum mengeluarkan surat atau pekeliling kenaikan harga.

Katanya, pengeluar bersetuju tidak menaikkan harga simen dan akan mendapatkan kelulusan kerajan sebelum mengeluarkan sebarang surat atau pekeliling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.