Perlis rugi RM26.4 juta kerana rakyat liat bayar cukai, kata MB

Perlis rugi RM26.4 juta kerana rakyat liat bayar cukai, kata MB

Azlan Man berkata jumlah pembayar cukai yang liat membayar cukai meningkat setiap tahun menyebabkan kadar cukai yang tidak dikutip semakin bertambah.

Di peringkat pentadbirannya, Azlan Man perkenalkan pelbagai insentif termasuk diskaun bagi menggalakkan pembayar cukai membayar cukai mengikut kadar tertentu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri besar Perlis berkata masalah pembayar cukai enggan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap kerajaan negeri berlaku sejak sekian lama, selepas Raja Perlis mendakwa kerajaan negeri mengalami kerugian dalam penguatkuasaan cukai kira-kira RM26.4 juta setiap tahun.

Azlan Man berkata, pada awalnya jumlah pembayar cukai yang gagal melaksanakan tanggungjawab tidak ramai, namun jumlah itu meningkat setiap tahun menyebabkan kadar cukai yang tidak dikutip semakin bertambah.

“Bila bayar cukai, barulah negeri ada hasil. Jika rakyat tidak bayar cukai yang jumlahnya tidak begitu besar tetapi apabila berlaku setiap tahun ia akan menyebabkan jumlahnya semakin banyak setiap tahun.

“Ia adalah berdasarkan dari laporan Majlis Kewangan Negara. Jumlah itu merupakan jumlah terkumpul dari beberapa tahun dahulu yang gagal dibayar pembayar cukai dan bukannya berlaku sejak setahun ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kesal dengan tindakan segelintir pemimpin parti politik di negeri berkenaan yang menggunakan kedudukan bagi membantu rakan-rakan mengelak dari membayar cukai.

Raja Perlis berkata, disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu, kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM26.4 juta setiap tahun.

Menurut Tuanku Syed Sirajuddin, sekiranya tidak berlaku perkara sedemikian, kerajaan negeri sepatutnya mampu memperolehi sebanyak RM128.9 juta melalui penguatkuasaan cukai.

Mengulas kenyataan Raja Perlis, Azlan berkata ahli politik yang dimaksudkan itu bukanlah melibatkan pemimpin politik secara langsung yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri, sebaliknya melibatkan pelbagai saluran dalam agensi kerajaan.

“Sebenarnya bila sebut ahli politik ini, bukannya bermaksud orang politik yang pegang jawatan dalam kerajaan, ia macam-macam saluran yang mereka pakai. Ada macam-macam, kerana ada yang berunding dengan pejabat tanah.

“Rujukan tuanku itu juga sebenarnya adalah secara umum. Maksudnya ada segelintir orang apabila sampai notis cukai atau notis saman, mereka liat untuk bayar. Jadi, ada yang kadang-kadang minta tolong dengan rakan-rakan mereka,” katanya.

Azlan juga berkata, di peringkat pentadbirannya, beliau sendiri sudah perkenalkan pelbagai insentif termasuk memperkenalkan diskaun bagi menggalakkan pembayar cukai membayar cukai mereka mengikut kadar tertentu.

“Macam-macam yang kita sudah buat seperti berikan insentif untuk bayar cukai, kita berikan diskaun, kemudahan dari segi jadual pembayaran. Namun walaupun ada yang menerima insentif itu, masih ada yang tidak mahu bayar.

“Kita pernah tawarkan diskaun sehingga 90%. Untuk tahun ini kita tawarkan sehingga 75% diskaun. Kita tawarkan siapa cepat dia dapat. Itu antara beberapa langkah yang kita lakukan bagi membolehkan mereka ini membayar cukai mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.