
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin ong berkata, Beijing juga harus menyedari tentang saiznya apabila meminta sokongan daripada negara kecil seperti Malaysia dalam perang perdagangan yang sedang berlaku.
“Untuk muncul sebagai kuasa damai yang berwibawa, China harus melayani negara Asia Tenggara dengan baik sekali bagi membuktikan kepada dunia bahawa kebangkitannya bukanlah ancaman kepada rantau ini,” kata Liew dalam ucapan pada satu forum antarbangsa bagi meraikan 45 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
Forum tersebut merupakan anjuran bersama Universiti Malaya dan Universiti Xiamen.
“Walaupun China percaya ia merupakan mangsa buli negara Barat, terutama sekali AS, ia perlu mengambil semua langkah bagi mengetepikan persepsi dalam kalangan negara lebih kecil bahawa China merupakan negara pembuli,” kata Liew.
Katanya, satu masalah yang diperlu ditangani oleh China ialah hakikat bahawa kebanyakan sumber akademiknya yang mengkaji masyarakat Asia Tenggara masih “dibuat menerusi kajian Huaqiao yang tidak akan membawanya ke mana-mana”.
“China perlu berbuat semua yang mungkin supaya tidak memahami masyarakat Asia Tenggara hanya dari lensa perspektif Huaqiao,” tambahnya.
Bagaimanapun katanya, Malaysia juga perlu berbuat lebih banyak bagi memahami China kontemporari dengan lebih baik.
“Jika Malaysia melangkah secara berhati-hati tetapi berani, kita boleh menjadi peneraju pandangan awam di rantau ini, seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika membela Huawei baru-baru ini.
“Atau dalam kes inisiatif Belt & Road, semakan semula perjanjian dengan Malaysia selepas pilihan raya umum 2018 mungkin telah mendorong China supaya lebih menekankan ketelusan kewangan dalam projek akan datang.
“Tetapi bagi membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai kuasa pertengahan yang aktif melalui diplomasi proaktif, maka kita perlu mengatur diri kita sebagai sebuah negara dengan lebih baik bagi memacu semua potensi yang kita miliki.
“Malaysia perlu memahami China kontemporari dengan lebih baik dan lebih mendalam.”