2 bulan Suhakam tanpa ketua tanda PH perlahan laksana komitmen, kata bekas pesuruhjaya

2 bulan Suhakam tanpa ketua tanda PH perlahan laksana komitmen, kata bekas pesuruhjaya

Denison Jayasooria berkata, kerajaan PH perlu menjelaskan kenapa pengerusi dan pesuruhjaya tidak dilantik untuk menerajui Suhakam sejak 2 bulan lalu.

PETALING JAYA:
Putrajaya didakwa perlahan melaksanakan komitmennya untuk reformasi hak asasi dengan membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia beroperasi tanpa pengerusi dan pesuruhjaya selama 2 bulan.

Bekas pesuruhjaya Suhakam dari 2006 hingga 2010, Denison Jayasooria berkata kerajaan Pakatan Harapan perlu menjelaskan kenapa pengerusi dan pesuruhjaya tidak dilantik untuk menerajui Suhakam sejak 2 bulan lalu.

“Tempoh masa sudah ditetapkan dan kerajaan mesti beri perhatian berhubung masa yang diambil untuk lantikan baru (pengerusi dan pesuruhjaya). Tidak sepatutnya ada jurang masa (pelantikan),” katanya yang turut mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya juga berfungsi tanpa pengerusi dan pesuruhjaya pada awal tahun ini.

“Untuk pembaharuan institusi (dilaksanakan), suruhanjaya ini tidak boleh berfungsi tanpa pemimpin mereka,” kata aktivis hak asasi manusia dan ahli akademik itu kepada FMT hari ini.

April lalu, Pengerusi Suhakam, Razali Ismail meletak jawatan 2 minggu sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir, susulan siasatan Suhakam ke atas kehilangan seorang pastor dan 2 aktivis. Suhakam mendakwa polis terbabit dalam “penculikan paksa” Pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis, Amri Che Mat.

Ia disusuli 7 pesuruhjaya Suhakam – Lok Yim Pheng, Mah Weng Kwai, Aishah Bidin, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Francis Johen, Godfrey Gregory Joitol dan Jerald Joseph, menamatkan tempoh perkhidmatan 3 tahun mereka pada 25 April lalu. Ada di antara mereka yang sudah berkhidmat maksimum 2 penggal sebagai pesuruhjaya dan tidak boleh dilantik semula.

Pada 2016, sebelum Razali mengambil alih jawatan pengerusi, Suhakam juga berfungsi tanpa pengerusi dan pesuruhjaya selama 58 hari.

Hari ini, Jayasooria meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender meneliti perkara ini.

Katanya, laporan tahunan Suhakam belum dibahaskan di Parlimen, walaupun ia adalah satu daripada janji pilihan raya umum ke-14 PH.

“Ini (laporan tahunan Suhakam) mesti menjadi keutamaan bagi sesi Parlimen pada Julai”

Minggu lalu, sumber Suhakam memberitahu FMT tarikh tutup permohonan bagi pelantikan pesuruhjaya ialah November tahun lalu dan sebuah jawatankuasa pemilih sudah mengadakan mesyuarat awal tahun ini.

Di bawah Akta Suhakam, jawatankuasa itu diketuai ketua setiausaha negara, bekas pengerusi Suhakam dan 3 individu bebas. Ia akan menyerahkan satu senarai calon kepada perdana menteri untuk disyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

FMT sedang menunggu maklum balas Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar mengenai perkara ini.

Sementara itu, seorang sumber berkata: “Saya faham ia mengenai pemilihan pengerusi yang betul.

“Biasanya, kerusi itu berkhidmat selama 2 penggal, iaitu keseluruhannya 6 tahun, (tetapi) dengan peletakan jawatan pengerusi terdahulu secara tiba-tiba, prosesnya telah tersekat,” katanya kepada FMT.

Suhakam diberi kuasa untuk menasihati kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengenai aduan terhadap mereka dan mencadangkan langkah sesuai, serta mengesahkan pelanggaran hak asasi manusia. Ia turut diberi kuasa untuk melawat pusat tahanan dan memberikan cadangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.