
Pemangku Duta AS ke PBB, Jonathan Cohen menuduh Iran bertanggungjawab ke atas serangan itu dalam taklimatnya kepada Majlis Keselamatan PBB.
Serangan itu menyusul sebulan selepas 4 kapal tangki minyak diserang di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Cohen mendakwa serangan itu membuktikan ancaman jelas Iran kepada keamanan dan keselamatan dunia dan mahu PBB bertindak tegas terhadap negara itu.
Bagaimanapun desakan beliau ditolak oleh ahli Majlis Keselamatan PBB kerana kekurangan bukti untuk mengaitkan Iran kepada serangan berkenaan.
Duta PBB Kuwait, Mansour al-Otaibi berkata, beliau dan ahli majlis lain mahukan satu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Serangan terbaru itu menambah ketegangan hubungan antara Tehran dan Washington.
Media Iran berkata, 2 kapal tangki itu berlepas dari pelabuhan Abu Dhabi, ibu negara UAE.
Kesemua 21 anak kapal diselamatkan selepas Iran, Pakistan dan Oman menyahut panggilan kecemasan daripada kapal tangki minyak terbabit.