Huawei tawar pelaburan besar kepada negara terima kehadirannya

Huawei tawar pelaburan besar kepada negara terima kehadirannya

Bulan lepas, pentadbiran Donald Trump mengeluarkan arahan yang boleh menyekat Huawei daripada menjual peralatannya di AS.

Huawei Technologies Co bersedia melabur secara besar-besaran di negara yang menerima kemasukannya.
MEXICO CITY:
Huawei Technologies Co tahu sekarang bukanlah masa yang mudah untuk berurusan dengan syarikat itu.

Bagaimanapun mana-mana pihak yang berbuat demikian akan mendapat ganjaran, kata naib presiden global Marketing Insights Andrew Williamson dalam satu temu bual di Mexico City

“Huawei akan membuat pelaburan besar-besaran di negara yang menerima kemasukan kami,” katanya, dengan menambah bahawa pelaksanaan teknologi 5G di seluruh dunia akan menjadi lebih mencabar sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan langkah sekatannya.

“Mengehadkan persaingan dalam infrastruktur 5G mempunyai kos sangat besar. Kerajaan dan syarikat di seluruh dunia perlu menangani kos itu berbanding dakwaan risiko ke atas keselamatan nasional mereka,” katanya.

Bulan lepas, pentadbiran Donald Trump mengeluarkan arahan yang boleh menyekat Huawei daripada menjual peralatannya di AS.

Washington menyenaraihitamkan syarikat itu, justeru mengancam bekalan komponen AS dari semikonduktor hingga ke aplikasi Google yang digunakan dalam telefon pintarnya.

Williamson berkata, masih terlalu awal untuk menyimpulan sekiranya riuh rendah berkaitan syarikat itu sejak kebelakangan ini mempunyai kesan ke atas pelanggannya di Mexico, tetapi laporan suku ke-2 syarikat itu boleh memberi gambaran tentang keadaan yang berlaku. Di Eropah, bisnes telefon pintar Huawei tampak merosot.

Kebimbangan pengguna bahawa telefon Huawei akan segera ketinggalan zaman bermakna permintaan kepada peranti itu “menjunam jatuh”, kata penganalisis Canalys yang berpangkalan di UK, Ben Stanton.

“Kami percaya satu standard keselamatan siber global perlu diwujudkan,” kata Williamson, selain menambah bahawa pihaknya bersedia bekerja rapat dengan kerajaan bagi menangani kebimbangan mengenai isu keselamatan negara mereka.

“Kita perlu kembali kepada fakta, iaitu kembali merujuk kepada pembuatan dasar berasaskan bukti.”

Di Mexico, Huawei menyediakan teknologi untuk rangkaian tanpa wayar borong negara itu, Red Compartida. Ia juga berurusan dengan semua penyedia perkhidmatan utama, termasuk AT&T Inc dan America Movil SAB, kata beliau.

AS mempertahankan keputusannya menyekat Huawei daripada rangkaian telekomunikasi generasi berikutnya di negara itu, walaupun Presiden Donald Trump menunjukkan kemungkinan untuk memasukkan syarikat tersebut dalam perjanjian perdagangan akan datang dengan China, kata pegawai Jabatan Negara di Brussels, Khamis.

Jabatan Kehakiman AS juga mendakwa Huawei kerana mencuri rahsia perniagaan dan merancang satu kes jenayah terhadap ketua pegawai kewangan syarikat itu, Meng Wanzhou atas dakwaan berkomplot untuk menipu bank supaya melepaskan transaksi melibatkan Iran yang berlawanan dengan sekatan AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.